Anda di sini

Senator Hijau rintis penyusuan susu ibu di Parlimen

Advertisement
 Waters menyusukan bayinya dengan susu badan di Dewan Senat semasa sesi di Rumah Parlimen di Canberra, kelmarin. — Gambar Reuters
PERINTIS: Waters menyusukan bayinya dengan susu badan di Dewan Senat semasa sesi di Rumah Parlimen di Canberra, kelmarin. — Gambar Reuters

SYDNEY: Seorang senator telah mencipta sejarah politik di Australia apabila beliau menjadi wanita pertama yang menyusukan bayinya yang baharu lahir di Parlimen.

Senator Parti Hijau Larissa Waters kembali ke Dewan Senat buat pertama kali kelmarin sejak melahirkan anak keduanya, dan membawa masuk bayi perempuannya itu untuk menyusukannya sewaktu satu undian.

Begitu bangga kerana anak perempuan saya Alia adalah bayi pertama diberi susu ibu dalam Parlimen Persekutuan!” beliau menulis dalam Twitter.

Penyusuan susu ibu dalam dewan dibenarkan selepas peraturan baharu diperkenalkan pada tahun lepas untuk mewujudkan Parlimen lebih mesra keluarga susulan ‘ledakan bayi’ di kalangan ahli-ahli politik.

Di bawah peraturan sebelum ini, kanak-kanak dilarang secara teknikal.

Pada 2003 Kirstie Marshall, Ahli Parlimen Victoria, diusir dari Parlimen negeri kerana menyusukan bayi perempuannya yang berusia 11 hari,” tambah Waters.

Kadangkala sukar untuk tidak berasa tawar hati disebabkan oleh seksisme yang masih dihadapi wanita di tempat kerja.

Namun kadangkala berbaloi untuk merenung kembali dan melihat sejauh mana kita sudah pergi.”

Menyusu bayi di khalayak ramai telah menjadi topik panas di banyak negara, dan penggubal undang-undang wanita dikritik kerana membawa bayi mereka ke sidang Parlimen.

Pada tahun lepas, seorang ahli politik di Iceland bercakap dalam Parlimen ketika dia menyusukan bayi perempuannya, dan bayi dibenarkan di dalam Parlimen Eropah dan Sepanyol.

Ahli Parlimen Buruh Katy Gallagher berkata, waktu ini sewajarnya diberi pengiktirafan.

Wanita telah melakukannya dalam Parlimen di seluruh dunia. Alangkah bagus untuk melihatnya dapat berlaku sekarang dalam Senat,” katanya kepada Sky News.

Wanita akan terus melahirkan bayi dan jika mereka mahu menjalankan tugas mereka dan berada di tempat kerja dan menjaga bayi mereka, realitinya ialah kita perlu memberi ruang kepadanya.”

Waters sudah menukar profil Facebooknya kepada imej dirinya yang menyusu bayinya dalam Parlimen, dan ia telah menarik puluhan komen yang kebanyakannya positif.

Terima kasih kerana berkongsi gambar cantik ini dan membantu untuk membiasakan penyusuan ibu dalam masyarakat kita!” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi menambah kata: “Ya, anda adalah satu legenda. Terima kasih kerana menjadi wanita yang begitu tabah dan mencipta sejarah.” — AFP

Advertisement