Anda di sini

Patuhi SOP ditetapkan

Advertisement

Peringatan kepada sekolah elak insiden tidak diingini

 Amin (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan ialah Maimunah (kiri).
BERKAT KETEKUNAN: Amin (dua kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan ialah Maimunah (kiri).

KOTA KINABALU: Pihak sekolah diingatkan supaya mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan ketika menganjurkan sesuatu program, untuk mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Amin Senin berkata kes pelajar lemas sememangnya banyak berlaku di seluruh negara dan malangnya kali ini ia berlaku di Sabah.

Kita di pihak kementerian, sentiasa cuba sedaya upaya untuk mengurangkan atau sekiranya boleh untuk mengelakkan perkara itu daripada terjadi.

Kita memang mempunyai SOP sedia ada dan sentiasa mengingatkan semua sekolah untuk mengikutinya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016, di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan keluarga tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan yang meninggal dunia akibat lemas, ketika mengikuti Program Kem Kepimpinan, baru-baru ini.

Amin berkata keselamatan murid sentiasa diutamakan dan ia adalah dasar Kementerian Pendidikan.

Katanya, siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan dan pihak sekolah terbabit tidak perlu membuat penjelasan memandangkan laporan mengenai kejadian itu sudah dbuat.

Kita masih di peringkat awal siasatan ini dan susulan akan dibuat di peringkat kementerian. Pihak kami dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan bertindak sewajarnya selepas siasatan selesai dilakukan.

Langkah awal juga telah dilakukan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah apabila usaha berjumpa dengan keluarga mangsa yang terlibat sudah dilakukan,” katanya.

Dalam kejadian 29 April lepas, kira-kira jam 9.30 pagi, ketiga-tiga mangsa iaitu Danial Norman Norisham, 16, Quzaimi Jakaria, 17, dan Hafiz Hamizan Abd Rahman, 16, ditemui meninggal dunia akibat terperangkap di dasar kawasan berair semasa menyertai program itu di sebuah resort di Membakut.

Wakil ketiga-tiga keluarga pelajar berkenaan dalam sidang media di Putatan baru-baru ini menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan pihak sekolah mahupun resort terlibat kerana tidak tampil menemui mereka untuk menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku ketika program itu dilaksanakan.

Advertisement