Anda di sini

Manifestasi iltizam, komitmen UMNO bagi rakyat

Advertisement

Sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-71 UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perhimpunan besar-besaran anggota UMNO bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-71 parti itu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini merupakan manifestasi iltizam dan komitmen mereka untuk tetap berada di barisan hadapan bersama-sama rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan usaha kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO itu sekali gus mengajak seluruh anggota parti supaya menjadikan acara itu sebagai medan untuk membangkitkan semangat kebersamaan dalam satu roh perjuangan parti demi rakyat.

Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua ahli-ahli UMNO bahawa perayaan ulang tahun pada kali ini adalah kali yang terakhir sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Perayaan ini adalah merupakan satu manifestasi yang harus diterjemahkan, komitmen kita, iltizam kita, untuk terus menjadikan UMNO berada di garisan hadapan bersama dengan rakan-rakan Barisan Nasional dan rakyat keseluruhannya, agar agenda menterjemahkan kesejahteraan rakyat dapat kita bina bersama.

UMNO harus bangkit. Bangkit UMNO untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya, insya-Allah,” tegasnya dalam satu temu bual program Ruang Bicara Khas BNC sempena sambutan Hari UMNO Ke-71, yang disiarkan malam tadi.

Ahmad Zahid berkata apa yang lebih utama pada perhimpunan esok malam (malam ini) bukanlah semata-mata jumlah kehadiran yang dijangka menjangkau lebih 140,000 daripada 3.6 juta anggota UMNO itu, atau semata-mata keseragaman warna, tetapi ia lebih kepada bagaimana anggota parti mahu memberi suntikan roh dalam penghayatan itu.

Dalam 71 tahun perayaan UMNO ini, kita jangan hanya melihat bintang di langit, kita harus juga lihat rumput di bumi. Ertinya kita harus berpijak di bumi yang nyata. Bukan kita bersorak-sorai dan akhirnya kita tidak bagi kesan terbaik tetapi ia satu manifestasi rasa kebersamaan antara ahli UMNO dan saf kepimpinan untuk memperlihatkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan UMNO.

Kita ketepikan soal perbezaan pendapat. Tetapi lebih kita utamakan kepada soal pokok iaitu memenangkan kembali UMNO sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional secara keseluruhannya,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata UMNO sentiasa mengemas kini parti dan mengiktiraf kerjasama semua  pihak terutamanya saf kepimpinan di peringkat akar umbi kerana mereka mempunyai peranan yang amat penting menggerakkan jentera parti untuk menghasilkan kemenangan dalam sesuatu pilihan raya.

Katanya kerajaan pemerintah bertekad untuk meneruskan program pembangunan negara untuk semua golongan di negara ini tanpa sebarang pengecualian, terutamanya kepada generasi muda melalui gagasan baharu di bawah program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang sedang  dicorakkan melalui saranan dan harapan golongan muda sendiri serta golongan profesional dalam pelbagai bidang melalui pendekatan  daripada akar umbi kepada kepimpinan.

TN50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan memberi harapan baharu kepada generasi muda untuk pasaran tenaga kerja masa depan dalam kumpulan profesional dan penyediaan  keperluan prasarana secukupnya oleh kerajaan untuk masyarakat akan datang.

Sehuhungan itu juga, katanya, UMNO melalui kebijaksanaan kepimpinan parti, akan melibatkan semua kumpunan sebagai calon dalam PRU-14 termasuk golongan muda dan wanita agar tidak ada kumpulan yang terpinggir daripada diwakili dan mereka ini dapat pula memberi perkhidmatan terbaik untuk semua golongan rakyat.

Dua kriteria yang akan digunakan untuk memilih calon parti untuk pilihan raya umum akan datang ialah calon yang boleh memberi kemenangan dan calon yang disukai masyarakat.

UMNO kita juga telah siapsiaga dengan saluran komunikasi baharu untuk menghadapi PRU-14 terutamanya melalui media sosial, yang tidak digunakan sepenuhnya semasa PRU-13 yang lalu, katanya.

Mengenai kemungkinan kerjasama UMNO dengan PAS dalam PRU14, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kedua-dua parti tu tidak pernah memikirkan tentang tahaluf siyasi atau kerjasama dalam politik.

Kerjasama yang sedang dijalankan antara kedua-dua parti itu berupa suatu persefahaman dalam perjuangan untuk kepentingan Islam dan ummah.

Contohnya, perjuangan untuk membantu dan mencari penyelesaian kepada masalah masyarakat  Rohingya di Myanmar, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)  (Pindaan) 2016 atau Akta 355 atau persoalan pindaan Akta 355, militan Daesh dan isu Palestin, kata beliau.

Ini yang terwujud keserasian. Ini perjuangan ummah. Kebersamaan mula dirasai. Kita harapkan ahli-ahli di peringkat akar umbi merasainya juga. Bukan perkahwinan politik yang terwujud tetapi satu persefahaman, kelestarian dan pencerahan terhadap sesuatu isu.

Bukan mudah untuk kita lakukan sesuatu perubahan secara tiba-tiba, ia suatu proses, suatu evolusi politik dan sosial. Alhamdulillah, permasalahan ini telah memadamkan kebencian yang menguasai minda ahli-ahli UMNO dan PAS sejak begitu lama,” katanya. — Bernama

Advertisement