Anda di sini

Letupan maut di gudang bunga api Mexico

Advertisement

Kanak-kanak majoriti 14 yang tertimbus dalam tragedi di kampung tani di negeri tengah

 Keadaan di tempat kejadian selepas gudang bunga api meletup di San Isidro, Chilchotla kelmarin. — Gambar Reuters
TRAGIK: Keadaan di tempat kejadian selepas gudang bunga api meletup di San Isidro, Chilchotla kelmarin. — Gambar Reuters

PUEBLA: Satu letupan di sebuah gudang bunga api mengorbankan 14 orang, kesemua kecuali tiga daripadanya kanak-kanak, di sebuah perkampungan yang miskin di Mexico ketika ia meraikan satu perayaan keagamaan.

Letupan itu berlaku pada malam Isnin lepas di San Isidro, sebuah perkampungan pertanian terpencil yang terdiri daripada kira-kira 40 buah rumah di negeri tengah Puebla, kata kerajaan wilayah.

Ia berlaku hanya lima bulan sahaja selepas tragedi yang serupa mengorbankan 42 orang dalam letupan yang berlaku di sebuah pasar bunga api berhampiran Kota Mexico, di sebuah negara di mana bunga api sering digunakan untuk meraikan hari santo.

Penduduk kampung di San Isidro melepaskan bunga api sebagai sebahagian daripada perayaan awal sebelum perayaan santo penaung kampung berkenaan pada 15 Mei.

Salah satu bunga api “terjatuh di dalam sebuah rumah di mana bahan piroteknik disimpan untuk digunakan pada hari perayaan, menyebabkan satu letupan yang meroboh bumbung rumah tersebut”, kerajaan negeri Puebla menyebut dalam satu kenyataan kelmarin.

Ia berkata 11 daripada yang terbunuh adalah kanak-kanak berusia antara empat hingga 15 tahun.

Sembilan orang maut di tempat kejadian dan lima lagi kemudian mati di hospital.

Letupan itu mencederakan 22 orang, termasuk tiga kanak-kanak yang berada dalam keadaan serius, kata seorang pegawai di pejabat gabenor negeri, Javier Lozano, kepada pemberita.

Satu tragedi di mana kebanyakan mereka mati akibat ditimpa runtuhan bangunan.

Kebanyakan mereka mati kerana tertimbus,” katanya.

Anggota tentera dan pegawai kerajaan menutup lokasi letupan manakala ambulans bergegas masuk untuk mengambil mangsa yang cedera.

Presiden Mexico Enrique Pena Nieto menyampaikan takziah menerusi Twitter.

Gabenor negeri Antonio Gali Fayad berkata beliau sudah mengarahkan pihak berkuasa untuk merawat mangsa cedera dan memberi segala bantuan yang perlu kepada perkampungan San Isidro.

Kerajaan negeri berkata ia sedang menghantar makanan, air dan keranda kepada keluarga yang terjejas.

Apabila rumah kami meletup, ia runtuh dan semua kami lari, tetapi budak-budak itu sudah pun berada di bawah runtuhan. Tiga cucu saya yang kecil terbunuh di sana manakala seorang lagi cedera,” kata Carmen Rosas Tentle dengan lembut sementara ahli paramedik merawat kakinya.

Pada Disember lalu, 42 orang maut dan 70 lagi cedera dalam beberapa letupan menakjubkan di pasar bunga api terbesar di negara itu, di bandar Tultepec yang membuat bunga api di luar Kota Mexico.

Pasar tersebut penuh dengan orang yang membeli-belah sempena perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu. Ia hanya tinggal puing yang membara.

Penyiasat percaya sebuah roket meletup di pasar itu dan mencetuskan letupan berantai lain.

Pasar San Pablito digegarkan oleh dua letupan pada masa lalu: pada September 2005 dan sekali lagi pada tahun berikutnya, mencederakan puluhan orang, tetapi tiada kematian dilaporkan. 

Industri bunga api mengaut pendapatan hampir sebanyak AS$10 juta (RM45 juta) sebulan di Mexico, kata pihak berkuasa.

Pegawai kerajaan Puebla, Diodoro Carrasco, menegaskan industri itu dikawal rapi dalam kenyataan yang dibuat kepada saluran televisyen Milenio. — AFP

Advertisement