Anda di sini

Kesepakatan penduduk pastikan pelaksanaan agenda pembangunan

Advertisement
 Ronald (kiri) diiringi penduduk kampung meninjau titi penduduk Kampung Tetabuan yang rosak.
TINJAU: Ronald (kiri) diiringi penduduk kampung meninjau titi penduduk Kampung Tetabuan yang rosak.

BELURAN: Kesepakatan dan kerjasama kalangan penduduk di sesebuah kampung perlu agar proses pembangunan di kawasan kampung itu berjalan lancar.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia kerana jika berlaku pertelagahan kalangan penduduk di sesebuah kampung, akan melewatkan pelaksanaan pembangunan di kawasan mereka.

Saya tidak mahu penduduk kampung bertelagah satu sama lain tetapi perlu bersatu padu untuk pembangunan,” katanya pada Majlis ‘Nganda-Nganda Lahat Tetabuan’ (Melihat-lihat Kampung Tetabuan) di kampung itu, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Beluran Samad Jambri, Penolong Setiausaha Wanita UMNO Beluran Aneh Jambri dan Ketua Kampung Tetabuan Samsuddin Landohor.

Pada majlis itu, Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan RM150,000 bagi membaiki titian di kampung itu dan bantuan empat enjin bot.

Beliau berkata penduduk di sesebuah kampung yang berlaku pertelagahan antara mereka tidak memarahi kerajaan jika permintaan mereka berkaitan pembangunan tidak ditunaikan dan beralih sokongan kepada parti pembangkang.

Menurutnya kerajaan mempunyai keupayaan untuk menunaikan kewajipan kepada rakyat dalam aspek pembangunan tetapi disebabkan tiada kesepakatan kalangan penduduk kampung membantutkan pelaksanaan pembangunan itu.

Beliau berkata jika ia berlaku akan memberi peluang kepada parti pembangkang mendapatkan sokongan rakyat bagi membenci kerajaan.

Jangan ikut keseronokan sementara ini kerana kerajaan yang kekal adalah diterajui Barisan Nasional (BN) dan mempunyai rekod baik dalam melaksanakan pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Ronald berkata parti pembangkang hanya pandai memberi harapan palsu dan tidak mampu memberi bantuan kepada rakyat.  

Advertisement