Anda di sini

Dua pekerja ladang cedera ditikam rakan ketika sesi minum

Advertisement

BELURAN: Ketika asyik minum minuman keras, dua lelaki pekerja ladang mengalami kecederaan akibat ditikam oleh seorang lagi rakan yang minum bersama mereka di rumah kongsi pekerja Ladang Sg Sabang Sugut, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintenden V Shivanathan berkata kedua mangsa yang cedera dikenali sebagai Orly Esparaguerra, 30, warga Filipina bekerja sebagai mekanik mengalami kecederaan di bahagian dada dan seorang lagi, Arifin, 33, warga Indonesia bekerja sebagai tukang penyabit mengalami kecederaan di bahagian pinggang kiri.

Kedua-dua mangsa yang bekerja di ladang yang sama telah mendapatkan rawatan di Hospital Pitas dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata pihak polis sedang mengesan seorang rakan mereka iaitu suspek kes itu, Amir Rasyid, 42, seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang penyabit di ladang sama.

Pihaknya telah menerima laporan daripada penolong pengurus ladang berkenaan mengatakan pada 8 Mei, jam 1.30 pagi, telah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas bahawa ada berlaku pergaduhan di perumahan F1 ladang.

Shivanathan berkata terdapat dua mangsa yang cedera dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam dan telah dibawa oleh pengawal keselamatan itu ke klinik Ladang sebelum dirujuk ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.

Menurut pengawal keselamatan, mangsa pertama (Arifin) telah datang ke tempat kerjanya dan meminta tolong kerana telah ditikam dengan senjata tajam di bahagian pinggang,” katanya.

Beliau berkata Arifin juga memaklumkan yang rakannya (Orlyn) juga ditikam dengan senjata tajam oleh suspek.

Jarak antara tempat kejadian dan pondok pengawal keselamatan lebih kurang 200 meter,” katanya.

Shivanathan berkata sebelum kejadian, dikatakan kedua-dua mangsa minum minuman keras bersama-sama di rumah suspek.

Selepas selesai minum suspek dikatakan secara tiba-tiba telah bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menyerang serta menikam kedua-dua mangsa yang ketika itu berada di rumahnya,” katanya.

Beliau berkata ketika kejadian berlaku keadaan gelap kerana elektrik dimatikan sekitar jam 10 malam dan setelah suspek menikam kedua mangsa, dia terus melarikan diri.

Jiran yang berada di tempat kejadian menyatakan ada men-dengar bunyi bising tetapi tidak ambil peduli kerana beranggapan ada orang mabuk,” katanya.

Shivanathan berkata anak suspek yang tinggal bersama-sama suspek juga tidak nampak kejadian kerana sedang tidur.

Menurut anak suspek, pada awalnya bapanya minum seorang diri sahaja kira-kira jam 7 malam dan selepas itu kedua-dua mangsa telah datang untuk minum bersama suspek,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan juga masih belum mengetahui punca sebenar suspek bertindak sedemikian.

Shivanathan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat suspek agar menghubungi pihak polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran di talian 089-511222.

Advertisement