Anda di sini

Ranau jadi rujukan bomba seluruh negara

Advertisement

Diisytihar sebagai pusat kecemerlangan misi mencari dan menyelamat di tanah tinggi

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengisytiharkan Balai Bomba dan Penyelamat Ranau sebagai pusat kecemerlangan bagi latihan anggota untuk misi mencari dan menyelamat di kawasan tanah tinggi.

Pengarah JBPM Sabah Nordin Pauzi berkata, pengisytiharan itu susulan penubuhan pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MoSAR) selepas gempa bumi bermagnitud 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada 5 Jun 2015 lalu dan mengorbankan 18 orang yang berada di Gunung Kinabalu ketika kejadian.

Kita telah melengkapkan bukan sahaja dari segi peralatan, tetapi sumber manusia yang berkemahiran menampung keperluan sebagai tenaga pengajar kepada MoSAR.

Sekarang ini, di negeri-negeri lain yang kebanyakannya mengadakan aktiviti luar yang mencabar dan juga melibatkan pendakian di gunung dan bukit semakin popular dan ada juga kes melibatkan operasi penyelamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia peringkat negeri, yang dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Hajiji Noor, di sini semalam.

Menurut Nordin, balai tersebut menjadi rujukan JBPM di seluruh negara bagi mendapat bantuan dari segi latihan yang akan digubal khusus berdasarkan keperluan setiap negeri.

Silibus MoSAR tidak seragam (di semua kawasan) dan berbentuk ‘tailor-made’  mengikut situasi dan bergantung kepada persekitaran gunung serta bahaya dan risiko setempat,” jelasnya.

Mengenai MoSAR, Nordin berkata pasukan itu ditubuhkan dengan 40 malim gunung yang dilantik sebagai anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) setelah dilatih untuk bertindak sebagai penyelamat awal dalam situasi kecemasan di Gunung Kinabalu.

Sebulan selepas tragedi gempa bumi, JBPM Sabah membuat pengambilan anggota pasukan MoSAR dan ia beroperasi sepenuhnya dalam September 2015.

Proses pemilihan untuk pasukan MoSAR agak berbeza dengan PBB yang lain kerana kita membuka peluang kepada malim gunung sahaja dengan mendapat nasihat daripada Taman-Taman Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais berkata anggota PBB MoSAR lebih ideal dilantik daripada kalangan malim gunung yang bukan sahaja mempunyai ketahanan fizikal, tetapi telah menyesuaikan diri dengan iklim pergunungan yang mempunyai paras oksigen yang rendah.

Beliau turut memaklumkan, setelah aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu dimulakan semula lima bulan selepas gempa bumi itu, terdapat 43 kes orang cedera dan dibawa turun dari gunung oleh PBB MoSAR dengan Renjer Taman-Taman Sabah, yang bertindak sebagai penyelaras PBB MoSAR.

Setakat hari ini untuk tahun ini, ada 24 kes orang cedera yang dibawa turun dari gunung,” katanya.

Pada majlis sambutan itu, Jamili dan Nordin turut menandatangani memorandum persefahaman MoSAR. — Bernama

Advertisement