Anda di sini

Punca kematian ikan dalam sangkar belum dikenal pasti

Advertisement

SANDAKAN: Punca kematian ternakan ikan dalam sangkar yang kerap berulang di Kampung Mumiang, Kinabatangan masih belum dikenal pasti.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata siasatan berhubung punca kematian ikan dalam sangkar di Kampung Mumiang sudah siap 80 peratus.

Siasatan yang dijalankan itu termasuk membabitkan syarikat ladang kelapa sawit yang terdapat di sekitar kawasan Mumiang dan mereka telah memberikan kerjasama baik,” katanya sewaktu Program Kesedaran Kepentingan Sungai Mumiang di sini.

Kampung Mumiang terletak di muara Sungai Kinabatangan, iaitu kira-kira sejam perjalanan menggunakan bot laju dari sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata siasatan  bersepadu telah dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian ternakan ikan dalam sangkar di kawasan tersebut.

Katanya agensi terlibat antaranya Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Pertanian dan Jabatan Mineral dan Geosains.

Menurutnya sebuah syarikat perunding alam sekitar yang beroperasi di Sabah turut membantu dalam penyiasatan susulan di Sungai Mumiang pada 20 Mac lepas dengan membawa seorang pakar kualiti air daripada sebuah universiti tempatan bagi mengesahkan hasil awal.

Siasatan lanjut masih dilaksanakan kerana pelbagai maklumat tambahan perlu diperoleh bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika melancarkan Program Kesedaran Kepentingan Sungai Mumiang. Teks ucapannya dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata insiden terbaharu kematian ikan dalam sangkar di Kampung Mumiang adalah pada Julai tahun lepas yang mengakibatkan pengusahanya mengalami kerugian besar.

Menurutnya sehingga kini tiada keputusan serta perkongsian maklumat kepada masyarakat sekitar Kampong  Mumiang berhubung sampel air yang telah diambil di sungai berkenaan ketika kejadian.

Justeru, katanya, kempen kesedaran ini dapat membimbing penternak dan penduduk agar maklumat lanjut yang diperlukan dapat dikumpul bagi melengkapkan siasatan untuk mengenal pasti punca kematian ikan dan langkah bagi mengelakkan ia berulang.

Advertisement