Anda di sini

Prospek industri gas cerah susulan pelaksanaan langkah pembaharuan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Prospek industri gas Malaysia kini cerah sejajar pelaksanaan langkah pembaharuan membabitkan aspek perundangan dan kawal selia, infrastruktur dan harga bagi menjadikannya lebih berdaya saing dan inovatif.

Presiden Persatuan gas Malaysia (MGA) Hazli Sham Kassim berkata usaha itu pada akhirnya akan memberi manfaat kepada pengguna dari segi pilihan bekalan, harga yang lebih kompetitif serta jaminan bekalan gas.

Kebimbangan terhadap komitmen (menjaga) alam sekitar dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau akan hanya menggalakkan penggunaan gas sejajar berikutan ciri-cirinya sebagai bahan api paling bersih dan amat sesuai bagi melengkapi tenaga boleh baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran laporan ‘Natural Gas: Flipping The Switch’ oleh Investvine di sini, semalam.

Laporan itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi, Datuk Allauddin Annuar.

Mengulas lanjut, Hazli Sham berkata kepentingan teknologi hijau dalam Rancangan Malaysia Ke-11 juga menyaksikan komitmen mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 yang dapat meningkatkan peluang perkembangan industri dan inisiatif tenaga lebih bersih.

Inisiatif kerajaan untuk membuka industri bekalan gas domestik kepada persaingan pasaran juga menjadi detik bermakna untuk meningkatkan keyakinan untuk menggalakkan pemikiran yang mengutamakan usaha gas boleh diperbaharui,” katanya.

Pencapaian penting adalah menerusi penguatkuasaan Akta Bekalan Gas (Pindaan) 2016 yang tidak hanya menyediakan kerangka undang-undang untuk Akses Pihak Ketiga (TPA) kepada infrastruktur gas negara, tetapi turut mempertingkatkan prospek terhadap industri gas domestik seperti penggasan semula serta penghantaran dan pengedaran gas.

Pelaksanaan TPA mulai 16 Januari tahun ini hanya membuka usaha liberalisasi industri gas yang membenarkan penyertaan penggiat baharu  membawa masuk gas secara terus ke negara ini.

Malah, bagi memanfaatkan potensi gas dalam pelbagai industri di Malaysia, adalah penting untuk memastikan wujudnya keyakinan terhadap jaminan bekalan gas serta momentum permintaan kukuh bagi menyokong pertumbuhan berterusan industri itu.

Ini akan mewujudkan satu ekosistem jaminan terhadap permintaan dan bekalan gas yang mencukupi,” katanya.

Hazli Sham berkata aspek jaminan bekalan itu dipastikan menerusi gas domestik dan ditambah dengan import gas asli cecair (LNG) yang kini boleh dibekal oleh mana-mana mekanisme TPA. — Bernama

Advertisement