Anda di sini

Penambang mula risau jambatan emas gugat pendapatan

Advertisement
 Sebahagian daripada Golden Bridge yang sedang dibina dan dijangka siap Januari 2018.
MERCU TANDA: Sebahagian daripada Golden Bridge yang sedang dibina dan dijangka siap Januari 2018.

 

MESKIPUN ‘Golden Bridge’ dijadual siap pada Januari tahun hadapan, penambang di Sungai Sarawak sudah mula merasai kesannya apabila pelanggan mereka semakin berkurangan saban hari.

Keadaan itu sudah tentunya menimbulkan keresahan dalam kalangan penambang yang pasti akan kehilangan mata pencarian seterusnya pulang ke kampung halaman bersama perahu yang banyak berjasa kepada mereka.

Umar Said, 65, menjadi penambang semenjak 40 tahun lalu dan antara penambang di Sungai Sarawak mengakui pendapatan mereka jauh berkurangan berbanding lima tahun lalu.

Ketika ini ujarnya, mereka hanya mampu memperoleh pendapatan purata RM30 sehari atau RM210 seminggu menerusi kadar tambang RM0.50 dikenakan kepada penumpang dewasa dan RM0.30 untuk kanak-kanak bagi satu laluan.

Setiap hari katanya, penambang akan mula beroperasi seawal jam 5.30 pagi hingga 10 malam membanting kudrat tua menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan setia mereka dari kampung-kampung seberang hilir.

Beliau berkata, kalau nasib menyebelahi, mereka boleh mendapat RM50-RM100 sehari jika ada kumpulan pelancong menyewa perahu untuk menyusuri Sungai Sarawak.

Namun, ujarnya peluang itu jarang ada kerana terdapat syarikat-syarikat pengusaha perkhidmatan bot persiaran menawarkan perkhidmatan seumpama itu.

Tak tahu nak buat macam mana, kalau tak ada penumpang maknanya tak ada adalah pendapatan, sekarang pun pendapatan kami tak seberapa kerana tidak ramai yang menggunakan penambang, masing-masing ada kenderaan sendiri.

Mahu tak mahu saya terpaksa membawa perahu pulang ke Kampung Empila Kota Samarahan, tiada orang nak naik. Siapa lagi hendak ditunggu,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Sapi di Kuching, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, ketika ini terdapat hanya lima penambang beroperasi secara tetap di Sungai Sarawak berbanding puluhan jumlahnya sebelum ini dan mereka beroperasi di beberapa lokasi seperti Pangkalan Haji Omar di Kampung Boyan dan Pangkalan Batu Kampung Lintang.

Menurutnya, kebanyakan penambang datang dari Samarahan seperti Kampung Niup, Kampung Lubuk Mata Parang, Kampung Pendam dan Kampung Tembirat dan bagi satu kumpulan penambang mereka hanya akan beroperasi seminggu bagi memberi peluang kepada kumpulan penambang lain.

Seorang lagi penambang yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Din, 62, dari Kampung Tanjung Bundong Kota Samarahan pula mengatakan beliau tidak pasti dengan nasib bakal menimpa mereka.

Inilah pintu rezeki kami dari bujang dahulu, kalau jambatan ini sudah siap, kami sudah tentu tak dapat mencari makan. Tak lama lagi jambatan ini akan siap, dikatakan Januari tahun depan.

Sekarang tambang RM0.50 untuk orang dewasa dan RM0.30 bagi penumpang kanak-kanak sekali perjalanan tidak seberapa berbanding kos sara hidup yang tinggi, tapi kerana inilah saja yang boleh kami lakukan untuk mencari makan, ia perlu diteruskan sehingga perkhidmatan kami tidak diperlukan lagi,” katanya.

Namun bagi pesara kerajaan, Kiprawi Abdul Rahman, 72, dari Kampung Astana dekat sini percaya perkhidmatan perahu tambang masih lagi diperlukan walaupun Golden Bridge dibuka kepada orang ramai.

Takkan orang membeli barang berat hendak menggunakan jambatan, mesti mereka masih menggunakan penambang,” katanya sambil menambah penambang perlu dikekalkan kerana ia sudah menjadi ikon pelancongan di negeri ini.

Justeru, beliau berharap nasib pengusaha perahu tambang akan diberi perhatian oleh kerajaan selepas jambatan berkos RM35 juta itu siap kerana ia antara tarikan pelancong di negeri ini dan warisan sejarah yang perlu dipertahankan.

 Umar tetap setia dengan perahu tambangnya walaupun semakin hilang punca pendapatan.
KUDRAT TUA: Umar tetap setia dengan perahu tambangnya walaupun semakin hilang punca pendapatan.
  • oleh
  • Advertisement