Anda di sini

Negeri dan negara perlu kerajaan berpengalaman

Advertisement
 Yussof (enam kanan) dan Abdul Rahman (tengah) bersama jawatankuasa MUBARAK Negeri Sabah 2017-2020 dan ahli-ahli majlis itu.
MESYUARAT: Yussof (enam kanan) dan Abdul Rahman (tengah) bersama jawatankuasa MUBARAK Negeri Sabah 2017-2020 dan ahli-ahli majlis itu.

KOTA KINABALU: Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) cawangan Sabah percaya negeri dan negara memerlukan kerajaan yang mempunyai pengalaman serta prestasi rekod yang terbukti untuk melindungi kedaulatan negara daripada ancaman luar.

Yang Dipertua MUBARAK Sabah Datuk Yussof Abdul Manan berkata, keperluan itu adalah sangat wajar memandangkan senario politik dan ekonomi global semasa.

Terdapat kuasa-kuasa yang telah cuba mengeksploitasi kelemahan kita untuk kepentingan ekonomi dan politik mereka. Oleh itu, kita memerlukan sebuah kerajaan yang telah membuktikan pengalaman dalam menentang ancaman ini dan mengatasi cabaran.

Kita lihat, kerajaan yang ada sekarang tidak menggagalkan kita. Kita tidak nafikan terdapat sedkit kelemahan tetapi ia berjaya diatasi dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MUBARAK Negeri Sabah, Sabtu lalu.

Yussof bagaimanapun berkata walaupun kerajaan berjaya dalam melindungi kedaulatan negara, ancaman akan terus berlaku.

Sebab itu mengapa kita perlu kerajaan yang berpengalaman untuk menanganinya secara berkesan supaya rakyat boleh meneruskan kehidupan mereka dengan aman dan pembangunan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata pilihan raya semakin hampir dan dengan itu, ceramah daripada pihak-pihak tertentu tentang mahu untuk menukar kerajaan menjadi lebih kuat dari hari ke hari.

Tetapi beliau menggesa rakyat supaya tidak membuat keputusan mengikut emosi mengenai siapa yang mereka mahu untuk kerajaan yang akan datang.

Mampukah pihak yang telah menggesa untuk mengubah kerajaan menangani ancaman luar dengan lebih berkesan? Saya amat ragu mereka boleh melalukannya jika mereka mendapat kuasa kerana mereka tidak mempunyai pengalaman,” katanya.

Yussof berkata ancaman yang dahsyat datang dalam pelbagai bentuk salah satu ialah Daesh dan ISIS, dan kerajaan telah terpaksa menggunakan pengalamannya untuk menentang dan mengalahkan mereka.

Walaupun beliau menerima bahawa ia adalah dalam semangat demokrasi, mana-mana pihak mempunyai hak untuk membentuk kerajaan, persoalan besar untuk difikirkan ialah sama ada pembangkang mampu sepertimana kemampuan yang dimiliki kerajaan yang ada sekarang.

Mereka boleh mendakwa mereka boleh melakukan yang lebih baik. Bagaimana rakyat boleh begitu yakin?

Selama ini mereka membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan untuk memburuk-burukkan kerajaan dalam usaha untuk mendapat sokongan rakyat.

Tetapi, kita percaya rakyat hari ini semakin bijak untuk menilai dan menolak tohmahan berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan berterusan yang dibawa kerajaan sedia ada untuk kesejahteraan,” katanya.

Dalam pada itu, Yussof mengulangi sokongan penuh MUBARAK Sabah kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman yang telah membawa pembangunan begitu banyak untuk Sabah.

Kita semua boleh melihat apa yang beliau telah lakukan dan telah rancangkan dengan melaksanakan lebih banyak pebangunan untuk Sabah dan rakyat negeri ini,” katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat agung itu, Yussof dikekalkan sebagai Yang Dipertua MUBARAK Sabah dalam tempoh tiga tahun (2017-2020).

Pemegang jawatan lain bagi penggal baharu MUBARAK Sabah ialah Jahari @Johari Mohd Dun (Timbalan Yang Dipertua), Datuk Paul Wong dan Datuk Dayang Mahani Tun Pengiran Ahmad Raffae (Naib Yang Dipertua).

Manakala, Ahli Jawatankuasa MUBARAK yang dipilih ialah Toh Puan Rahimah Stephens, Datuk Francis Yapp, Datuk Kadoh Agundong, Datuk Salleh Janan, Datuk Geoffrey Yee, Datuk James Vitalis dan Datuk Leong Pau Chu.

Buat pertama kali juga, jawatan bagi Pengerusi Tetap MUBARAK diwujudkan dan Datuk Cladius Sundang Alex telah dipilih untuk mengisi jawatan itu.

Mesyuarat itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung MUBARAK Malaysia Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim.

Advertisement