Anda di sini

Dana Ekuinas berprestasi baik pada tahun kewangan 2016

Advertisement
 Abdul Rahman (tengah) melihat buku laporan tahunan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) 2016 pada majlis Pengumuman Keputusan Perolehan Ekuinas 2016 di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Raja Arshad (kiri) dan Syed Yasir Arafat. — Gambar Bernama
BUKU LAPORAN: Abdul Rahman (tengah) melihat buku laporan tahunan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) 2016 pada majlis Pengumuman Keputusan Perolehan Ekuinas 2016 di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Raja Arshad (kiri) dan Syed Yasir Arafat. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dana Ekuinas Direct (Tranche 1) dan Ekuinas Direct (Tranche 2) oleh Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) masing-masing mencatat pulangan portfolio kasar RM466.4 juta dan RM331.6 juta, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016.

Pertumbuhan dana Ekuinas Direct (Tranche I) itu menunjukkan kadar pulangan dalaman (IRR) tahunan kasar sebanyak 13.1 peratus dan IRR tahunan bersih 9.4 peratus, sekali gus melebihi sasaran minimum jangka panjang pulangan tahunan pada 12 peratus.

Sementara itu, pulangan Ekuinas Direct (Tranche II) pula mewakili IRR tahunan kasar 18.1 peratus dan IRR tahunan bersih sebanyak 12.7 peratus.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, syarikat pengurusan dana ekuiti swasta berkaitan kerajaan itu telah mencatat pencapaian yang agak baik.

Kami telah melaksanakan secara agak baik, walaupun persekitaran ekonomi mencabar sejak tahun lepas. Bagi tahun ketujuh, Ekuinas berjaya mengekalkan IRR di atas paras sasaran minimum 12 peratus setahun,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

Ekuinas menjalankan tujuh pelaburan langsung dan sumber luaran dengan modal komitmen keseluruhan RM172.6 juta pada 2016.

Raja Arshad berkata, pelaburan komited terkumpul keseluruhan yang dilaksanakan Ekuinas berjumlah 53 dan bernilai hampir RM3 bilion, yang bersama-sama modal swasta, membiayai jumlah penggunaan modal keseluruhan RM3.6 juta sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi.

 Beliau berkata, Ekuinas komited sebanyak RM172.6 juta dalam tujuh pelaburan langsung dan sumber luaran, termasuk dua pelaburan langsung dengan modal komited keseluruhan RM123.2 juta.

Pada 2016, Ekuinas melupuskan pelaburan sulungnya dalam Alliance Cosmetics Group, sekali gus menjana hasil RM61.8 juta dengan IRR 9.0 peratus dan jumlah yang diterima balik sebanyak 1.5 kali modal yang dilaburkan.

Sementara itu, Syed Yasir Arafat berkata, syarikat portfolio sedia ada Ekuinas secara terkumpul mencatat perolehan melebihi RM1.6 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan sebanyak RM392.3 juta.

Dari segi objektif sosial, Ekuinas telah berjaya meningkatkan nilai ekuiti bumiputera sebanyak RM3.9 bilion atau 1.4 kali modal keseluruhan yang dilaburkan, katanya.

Selain itu, nilai pemegang saham keseluruhan bagi semua syarikat portfolio meningkat sebanyak RM5.6 bilion, bersamaan 2.0 kali modal dilaburkan.

Melalui portfolionya, Ekuinas menyediakan pekerjaan kepada 498 pengurus dan 16,038 kakitangan pada akhir 2016, daripada jumlah itu masing-masing 40.4 peratus dan 60.3 peratus adalah Bumiputera.

Ini menunjukkan peningkatan yang baik iaitu 16.9 peratus dan 29.7 peratus masing-masing bagi pengurus dan kakitangan Bumiputera, sejak Ekuinas ditubuhkan pada 2009,” kata Syed Yasir Arafat. — Bernama

Advertisement