Anda di sini

Borneo Jazz Festival kembali lagi dengan pemuzik lebih bertenaga

Advertisement
 Angelina (dua kiri) bersama Pengurus Besar Parkcity Miri, Andrew Law dan yang lainnya, di hadapan pentas BJF.
BERSEDIA: Angelina (dua kiri) bersama Pengurus Besar Parkcity Miri, Andrew Law dan yang lainnya, di hadapan pentas BJF.
 Osaka Monaurail dari Jepun.
DINANTI: Osaka Monaurail dari Jepun.

MIRI: Kembali lagi untuk edisi ke-12 pada tahun ini, Borneo Jazz Festival (BJF) 2017, bakal menampilkan kumpulan-kumpulan dan penyanyi jazz yang lebih bertenaga, menceriakan dan mengagumkan sebahagian daripadanya sudah mempunyai nama di persada dunia.

Kumpulan jazz dari Jepun, Osaka Monaurail dan The Cape Jazz Band dari Afika Selatan, adalah antara yang amat dinantikan kemunculannya dan bakal mengegarkan pentas BJF 2017, kali ini, di Parkcity Everly Hotel Miri (Parkcity).

Osaka Monaurail yang terdiri dari 10 anggota telah mengeluarkan tiga album dan pernah menjalin kerjasama dengan lagenda muzik soul, Marva Whitney untuk lagu asal James Brown, ‘Funky Divas’, bakal menghangatkan pentas dengan irama ‘dazzling brass’ dan gaya superheavy funk’ mereka.

Selain itu, BJF 2017 turut menampilkan kumpulan yang tidak kurang hebatnya seperti Idang Rasjidi Syndicate, yang amat popular di Indonesia; Michael Simon’s Asian Connection iaitu kumpulan gabungan pemuzik jazz professional dari Belanda, Taiwan dan Malaysia, yang tampil dengan keunikan dan kehebatan tersendiri.

Keempat-empat kumpulan ini akan menggegarkan pentas malam pertama BJF 2017, pada 12 Mei ini.

Manakala empat lagi kumpulan, iaitu Fluoroscent Collective, sebuah kumpulan yang dibentuk oleh gabungan pemain jazz dari Malaysia, Amerika Syarikat, India dan Itali, antara yang amat popular dan dikenali di kalangan peminat jazz negara, bersama-sama penyanyi jazz dari Kanada, Laila Biali yang tidak asing lagi dan pernah memenangi anugerah vokal jazz terbaik untuk album jazz terbaik pada 2011, bakal menggegar pentas pada malam kedua dan penutupan iaitu pada 13 Mei.

Turut menyertai kedua-dua pemuzik dan penyanyi jazz terbabit ialah Delgres dari Guadaloupe/Peranchis, yang bakal mengalunkan irama jazz yang agak rancak iaitu Afro-Caribbean dan irama blues, yang pasti akan memukau penonton.

Manakala pentas BJF 2017 dijangka akan diakhiri dengan penampilan kumpulan jazz dari Belanda, Cabocuba Jazz, iaitu kumpulan yang pernah dicalonkan untuk empat kategori dalam Latin Grammy Awards, serta diangkatkan oleh majalah ‘Latin Beat’ sebagai kumpulan jazz yang berinspirasi, hangat, mengairahkan dengan melod-melodi melankolik Cape Verde serta irama tarian Cuban yang pasti mempesonakan dan layak untuk dijadikan persembahan penutupan tirai.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Korporat dan Acara, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Angelina Bateman, dalam sidang media di sini memberitahu, kesemua pemuzik dan penyanyi tersebut mulai datang Ahad dan juga Isnin lepas, untuk menyertai BJF 2017, yang turut dibarisi dengan beberapa acara sampingan lain.

Buat pertama kalinya juga, BJF akan mewujudkan sesi ‘networking’ yang diberi nama ‘Jazz & Money, Do They Mix?’ yang akan diadakan pada Sabtu, 13 Mei, bermula dari jam 2 petang di Lambir Room, Parkcity,” katanya.

Menurut beliau sesi tersebut memberi peluang kepada pemuzik jazz jemputan untuk berkongsi pengalaman, pendapat, cabaran yang dihadapi oleh artis-artis profesional jazz dalam menghadapi perubahan yang amat besar dalam industri muzik.

Manakala program BJF 2017 katanya, akan bermula seawal jam 6 petang yang akan dimulakan dengan Program Belia BJF yang menyaksikan persembahan oleh pancaragam SMK Chung Hua Miri dan Sekolah Menengah Riam Road (RRSS), diikuti oleh persembahan jazz hingga ke tengah malam.

Tiket-tiket untuk menghadiri BJF 2017 kali ini, sudah boleh dibeli sama ada secara online atau di pintu masuk.

Untuk pembelian atas talian atau online, orang ramai boleh mulai membelinya sehingga 11 Mei, pada harga RM88.80 (satu hari) atau RM152.40 (dua hari) bagi dewasa, kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun pula ialah RM46.40 (sehari) dan RM67.60 (untuk dua hari).

Pakej keluarga bagi dua dewasa dan dua kanak-kanak (7 hingga 12 tahun) pula ialah RM185.60 (satu hari). Bagaimanapun untuk pembelian tiket di pintu masuk, harga untuk dewasa ialah RM110 (satu hari) dan RM194 (dua hari); kanak-kanak (7 hingga 12 tahun) ialah RM57 (satu hari) dan RM88.80 (dua hari) dan pakej keluarga ialah RM228 (sehari).

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung tiket-tiket ini, anda boleh menghubungi pihak penganjur, STB menerusi akses [email protected]; manakala penerangan lanjut dan lebih jelas mengenai BJF, anda boleh melayari laman sesawang www.jazzborneo.com.

 Cabocuba Jazz dari Belanda yang menampilkan jazz Afro-Carribean dengan melodi yang pasti menghangatkan pentas.
JAZZ RANCAK: Cabocuba Jazz dari Belanda yang menampilkan jazz Afro-Carribean dengan melodi yang pasti menghangatkan pentas.
Advertisement