Anda di sini

Berpendapatan tinggi: Malaysia perlukan empat faktor penggerak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menggabungkan empat faktor penggerak pertumbuhan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020, kata Euler Hermes-Allianz Research.

Ini termasuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih menyokong bagi membolehkan negara menjadi daya tarikan modal pelaburan global.

Persekitaran perniagaan yang lebih menyokong memerlukan peningkatan dalam rangka kerja pengawalseliaan bagi menguatkuasakan kontrak, percukaian dan prosedur yang berkaitan dengan insolvensi,” kata Ahli Ekonomi Kanan Asia, Mahamoud Islam.

Malaysia berada di tangga ke-23  dalam laporan Menjalankan Perniagaan  2017 oleh Bank Dunia namun berada di tahap yang rendah iaitu tempat ke-42 dalam komponen utama penguatkuasaan kontrak manakala prosedur insovensi di kedudukan ke-46,” katanya pada taklimat media tentang masa hadapan Malaysia, prospek pertumbuhan dan faktor penggerak selepas 2017, di sini kelmarin.

Katanya Malaysia perlu terus melabur dalam inovasi dan infrastruktur bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran global.

Usaha untuk merangsang inovasi dapat membantu Malaysia meningkatkan rantaian nilai itu dan penguasaan dalam pasaran global. Dengan meningkatkan infrastruktur keras dan lembut juga akan membantu mengurangkan kos transaksi dan meningkatkan daya saing secara keseluruhan,” katanya.

Mahamoud berkata Malaysia perlu memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan baharu, iaitu pendigitalan dan  perkhidmatankerana kedua-dua aspek tersebut berdaya tahan pada masa hadapan.   

Malaysia menduduki tempat ke-36 daripada 137 negara dalam indeks pendigitalan Euler Hermes.

Kini pendigitalan menyumbang 9.4 peratus daripada keluaran ekonomi global tahunan dan dijangka meningkat kepada 16.6 peratus menjelang 2020.

Di Malaysia sumbangan perkhidmatan kepada keluaran dalam negara kasar turut berkembang kukuh, dengan sebanyak 54 peratus pada 2016 dan dijangka meningkat kepada 56 peratus tahun ini,” kata Mahamoud.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia boleh meningkatkan hubungan dengan anggota rangka kerja Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan eksport dagangan sesama anggota kumpulan kini sebanyak 28 peratus.

Malaysia juga boleh mengeratkan hubungannya dengan China bagi memanfaatkan inisiatif perdagangan mega satu jalur satu jalan. Ini akan meningkatkan rangsangan modal, terutama dengan pelaburan langsung asing di China yang diluluskan untuk sektor pembuatan Malaysia berjumlah sehingga RM4.7 bilion tahun lepas.

Ia juga boleh membawa kepada peningkatan dalam tempahan baharu. China merupakan rakan eksport kedua terbesar Malaysia (selepas Singapura), berjumlah 13 peratus daripada eksport barang dagangannya,” katanya. — Bernama

Advertisement