Anda di sini

Wanita Thai menangis dijatuhi hukuman mati

Advertisement
 Napaphorn menangis selepas dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah.
TERIMA PADAH: Napaphorn menangis selepas dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah.

KUCHING: Seorang wanita warga Thailand tidak dapat menahan air mata selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atasnya semalam atas kesalahan mengedar dadah.

Tertuduh, Napaphorn Tanjit didapati bersalah mengedar methamphetamine 3.6 kg dan didakwa di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menetapkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dia didapati melakukan kesalahan itu ketika ditahan di pintu pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 9 malam, 1 November 2015.

Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menetapkan kesalahan dilakukan Napaphorn gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Pada 29 Disember 2016, Mahkamah Tinggi menetapkan pendakwa raya gagal membuktikan kes ‘prima facie’ dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa memasukkan pembelaannya.

Pendakwa raya mengemukakan rayuan dan pada 17 April tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dibuat dan menetapkan terdapatnya unsur ‘prima facie’ kes.

Napaphorn diarah mempertahankan diri di hadapan hakim Mahkamah Tinggi dan ketika menjatuhkan hukuman semalam, hakim berkata pembelaan tertuduh mengatakan dia tidak bersalah ditolak mahkamah.

Di luar mahkamah Napaphorn yang juga pembawa HIV kelihatan menangis sambil bercakap di dalam telefon.

Advertisement