Anda di sini

SK Tatau hargai jasa Cikgu John

Advertisement
 Janudin (kiri) bersama tetamu dan guru-guru lain mengiringi  John (kanan) ke dewan terbuka SK Tatau sempena meraikan persaraannya.
DIIRINGI: Janudin (kiri) bersama tetamu dan guru-guru lain mengiringi John (kanan) ke dewan terbuka SK Tatau sempena meraikan persaraannya.
 Murid-murid SK Tatau bersalaman dengan John yang diiringi Janudin.
DIHARGAI: Murid-murid SK Tatau bersalaman dengan John yang diiringi Janudin.

MAJLIS Persaraan ‘Sanjungan Budi, Lambaian Kasih’ untuk seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau diadakan dalam suasana yang sukar dilupakan oleh murid-murid dan guru-guru terutama apabila beliau menyampaikan amanat mengenai usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan keikhlasan dalam mengajar.

Guru yang bersara tersebut ialah Jun Garamuong@John Garamong, 56. Beliau lahir di Tatau pada 21 April 1961 telah berkahwin pada 20 April 1985 dengan Runih Imban dan dikurniakan tiga anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.

Pendidikan awal beliau ialah di SK Kuala Annau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu (1974-1978) seterusnya melanjutkan pendidikan di Maktab Perguruan Rajang (1981-1982).

Selepas tamat pengajian perguruan, beliau meneruskan perkhidmatannya sebagai guru di SK Rumah Keseng (1983-1989), SK Sg Bagian Tatau (tiga tahun), SK Sg Genaan Sebauh (dua tahun), SK Rumah Tayai (dua tahun sebagai pemangku guru besar), SK Sg Bagiau (tiga tahun) dan SK Tatau (2002 hingga 2017).

Beliau mula berkhidmat pada 3 Januari 1983 dan bersara wajib dari perkhidmatan pada 20 April 2017 yang bersamaan dengan tarikh perkahwinannya.

Berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka SK Tatau, John menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah yang menganjur majlis sempena persaraannya sekali gus merupakan hari bersejarah serta majlis terbaik yang sukar dilupakan untuk seumur hidupnya.

Kepada murid-murid, saya menasihati anda supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam pendidikan kerana ia merupakan kunci utama yang dapat membantu diri dan keluarga anda serta penentu kepada masa hadapan yang lebih cerah.

Kepada guru-guru, anda juga perlu sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mengajar anak didik kerana sebagai seorang guru, kita juga mempunyai anak sendiri yang mengharapkan cara didikan yang sama daripada guru-guru lain,” ujarnya.

Dalam pada itu Guru Besar SK Tatau, Janudin Ab Rahman berkata, persaraan Cikgu John tepat pada usia 56 tahun yang mana telah menjalankan perkhidmatannya sebagai guru selama 34 tahun.

Beliau merupakan seorang guru yang berdedikasi dan berjaya mengajar dengan baik anak-anak didiknya. Beliau banyak membantu pihak sekolah menjayakan pelbagai program terutama membabitkan usaha membantu mencapai kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terutama dalam peningkatan prestasi subjek Bahasa Inggeris,” jelasnya.

Saya berterima kasih kepada Cikgu John yang banyak berjasa kepada SK Tatau dan menyeru semua guru lain mencontohi sikap Cikgu John yang sentiasa memastikan murid-murid yang diajarnya faham semasa proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Terdahulu beberapa aktiviti telah diadakan untuk memeriahkan majlis itu sebelum John menyempurnakan acara memasukkan kad perakam waktu bertugas terakhir di slot mesin seterusnya diiringi keluar ke pintu pagar sekolah untuk kembali ke rumahnya di Sangan Tatau.

Turut mengiringi beliau ialah guru besar, guru-guru penolong kanan dan guru-guru sekolah terbabit.

Antara tetamu yang hadir ialah Penyelia Unit Pengurusan Sekolah Sigal Merikan yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Mohadi Mobin, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tatau Sanok Mangai, naib Yang Dipertua PIBG Danielson Tajak, Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) SK Tatau Halina Yahya, Pengerusi Ibu Bapa Pelajar Islam SK Tatau Rosma Zaini, penyelaras program Nazri Awang, semua penolong kanan, guru-guru dan kakitangan sekolah.

  • oleh
  • Advertisement