Anda di sini

Remaja rogol gadis bawah umur direman bantu siasatan

Advertisement

MIRI: Seorang remaja berusia 14 tahun yang ditangkap kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam direman tiga hari bagi membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meluluskan permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Norliza Abdullah dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Norliza memberitahu bahawa pada 7 Mei lalu, seorang suri rumah membuat laporan polis.

Dalam aduannya, pengadu yang berusia 49 tahun mendakwa sekitar jam 10.30 pagi hari sama ketika berada di rumah kakaknya, beliau diberitahu bahawa anak perempuannya berusia 13 tahun telah dirogol seorang lelaki yang baharu dikenali.

Kejadian didakwa berlaku di kuarters pekerja terletak di atas bangunan tempat cuci kereta di Taman Tunku.

Bertindak atas maklumat, sekitar jam 12.30 tengah hari, 7 Mei lalu di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Taman Jelita off Taman Tunku di sini sepasukan polis diketuai ASP Unang Giang menangkap seorang remaja lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Norliza memberitahu reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek berusia 14 tahun dari Kampung Satap Batu 8, Jalan Bekenu-Miri amat diperlukan membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek dan tempoh reman tamat pada 11 Mei ini.

Advertisement