Anda di sini

Pemberontak dari Barzeh dipindah ke Idlib

Advertisement

Proses evakuasi dimulakan dalam rangka perjanjian dengan kerajaan untuk perdamaian

 Ahli keluarga pemberontak berkumpul di tempat perhimpunan di kawasan kejiranan Barzeh pinggir Damsyik, semalam ketika menunggu proses evakuasi ke Idlib. — Gambar AFP
TINGGALLAH KAMPUNG HALAMAN: Ahli keluarga pemberontak berkumpul di tempat perhimpunan di kawasan kejiranan Barzeh pinggir Damsyik, semalam ketika menunggu proses evakuasi ke Idlib. — Gambar AFP

BEIRUT: Ratusan pejuang pemberontak Syria memulakan proses meninggalkan pinggir Damsyik Barzeh semalam dalam sebahagian daripada perjanjian evakuasi yang dipersetujui dengan kerajaan, menurut laporan televisyen rasmi dan kumpulan pemantau perang.

Televisyen rasmi Ekhbariya memetik wartawannya sebagai berkata, proses evakuasi pejuang dari Barzeh ke wilayah pemberontak Idlib di barat laut telah mulai dilaksanakan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Syrian Observatory for Human Rights, kumpulan pemantau perang berpangkalan di Britain, melaporkan bahawa bas-bas tiba di Barzeh waktu subuh dan sekumpulan ratusan pejuang dan ahli keluarga mereka mulai menaikinya seorang demi seorang.

Observatory berkata, lebih ramai lagi akan meninggalkan Barzeh dalam tempoh beberapa hari ini dalam rangka perjanjian yang sama untuk mengurangkan tekanan dalam kepungan tentera.

Barzeh terletak di timur laut Damsyik dekat oasis pemberontak Ghouta Timur, daerah pekan dan ladang yang telah menyaksikan pertempuran sengit di antara pemberontak dan tentera kerajaan sejak beberapa bulan lalu.

Tentera kelmarin mara di sebalik pengeboman sengit di daerah Qaboun, yang berjiran dengan Barzeh dalam wilayah terkepung yang sama, menurut Observatory.

Unit media tentera kendalian kumpulan bersenjata Syiah Lubnan Hizbullah, sekutu rejim Presiden Bashar al-Assad, melaporkan semalam bahawa beberapa ambulans Bulan Sabit Merah juga telah tiba di bandar pemberontak Fuaa dan Kafraya dekat Idlib.

Dua bandar tersebut terlibat dalam perjanjian evakuasi bersama yang turut melibatkan dua pekan yang dikepung tentera kerajaan serta melibatkan pertukaran ribuan penduduk antara dua pihak berbalah bulan lepas.

Assad telah mempromo-sikan penggunaan evakuasi sedemikian dan juga perjanjian ‘pemulihan’ untuk kawasan pemberontak yang telah menyerah diri kepada kerajaan, sebagai cara untuk mengurangkan pertumpahan darah.

Namun PBB mengkritik penggunaan taktik kepungan yang mendahului perjanjian sedemikian dan proses evakuasi itu sendiri sebagai pemindahan secara paksa.

Ramai daripada mereka yang telah meninggalkan kawasan terkepung lain juga ditempatkan semula di Idlib, kawasan luar bandar dekat sempadan dengan Turki yang merupakan sarang utama pemberontak. — Reuters

Advertisement