Anda di sini

Kit Siang semakin terdesak

Advertisement

Banyak artikel kritik Dr M dalam portal Roketkini dipadam

KUALA LUMPUR: DAP didakwa memadam banyak artikel dalam portal Roketkini yang sebelum ini mengkritik dan mengutuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan skandal mata wang asing (Forex).

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata tindakan itu dipercayai berkait rapat dengan sikap Penasihat DAP Lim Kit Siang yang kini ‘berkawan’ dengan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semua artikel yang pernah tuduh Dr Mahathir terlibat skandal rasuah, Forex dan BMF telah dipadamkan dari laman sesawang Roketkini.

Kita tahu Kit Siang ada banyak maklumat dan beliau merupakan orang yang paling marah dengan (Dr) Mahathir ketika skandal itu pada tahun 1992 sehingga negara kehilangan berbilion ringgit,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya pada 3 Jun 2012 Lim sendiri pernah berkata, sekiranya pakatan pembangkang menang pada PRU Ke-13, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja akan ditubuhkan untuk menyiasat kerugian skandal Forex Bank Negara yang berjumlah RM30 bilion pada tahun 1992 serta terhadap semua skandal kewangan selama tempoh 22 tahun Dr Mahathir sebagai pemimpin negara.

Ramesh berkata perkembangan dalam DAP itu menyaksikan bahawa Lim sebenarnya amat terdesak berikutan faktor usia dan pemimpin parti itu tidak mahu dilihat sebagai pemimpin DAP yang gagal membawa kejayaan kepada parti khususnya untuk misi membantu kemenangan pembangkang dalam PRU Ke-14 kelak.

Anaknya sendiri sudah berjaya jadi Ketua Menteri, Kit Siang jadi apa? Sebab itu kerjasama ini begitu penting kerana jika beliau pentingkan dendam dengan Dr Mahathir, segalanya akan musnah dan tak ada harapan untuk pembangkang menang,” katanya.

Pada 4 Mei lalu, Lim memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sepanjang 1991 hingga 1993.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu memberi keterangan kira-kira 40 minit kepada pasukan petugas khas itu yang bersidang di Kementerian Kewangan di Putrajaya. — Bernama

Advertisement