Anda di sini

Kes bunuh Bill Kayong: Ditetapkan 25 Mei dengar hujah lisan kedua-dua pihak

Advertisement

MIRI: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 25 Mei ini untuk mendengar hujah lisan kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela pada perbicaraan kes bunuh Bill Kayong.

Penangguhan itu dibuat setelah membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk mendengar hujah lisan kerana beliau sakit.

Tertuduh pertama, Mohamad Firtri Fauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh jam 8.20 pagi, pada 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pasar Raya Emart, Jalan Kuala Baram Bypass di sini.

Manakala tiga yang lain iaitu Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama turut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Sepanjang 11 hari perbicaraan, pendakwa memanggil seramai 28 orang saksi memberi keterangan bagi menyabitkan keempat-empat tertuduh dengan kesalahan didakwa.

Perbicaraan kes dilakukan di hadapan Hakim Ravinthran N Paramaguru.

Sementara keempat-empat tertuduh masing-masing diwakili Ranbir Singh, Arthur Lee, David Kuok dan Orlando Chua.

Manakala pendakwaan terdiri daripada TPR Mohd Fuad, Hayda Farizal Abu Hassan dan Wan Mohamad I’zzat Wan Abdullah.

Advertisement