Anda di sini

159 Jambatan dinaik taraf dalam tempoh dua hingga lima tahun

Advertisement
 Fadillah (kiri) meninjau projek Jambatan Parit Keliling Batu Pahat yang dalam pembinaan ketika melakukan lawatan kerja semalam. — Gambar Bernama
TINJAU: Fadillah (kiri) meninjau projek Jambatan Parit Keliling Batu Pahat yang dalam pembinaan ketika melakukan lawatan kerja semalam. — Gambar Bernama

BATU PAHAT: Sebanyak 159 buah jambatan di seluruh negara bakal dinaik taraf dalam masa dua hingga lima tahun akan datang berikutan ada jambatan berada dalam keadaan daif selain bagi memenuhi keperluan semasa untuk menampung had muatan kenderaan berat bagi tujuan perdagangan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian telah dibuat oleh kementerian bagi mengenal pasti jambatan-jambatan yang perlu dinaik taraf bagi memenuhi keperluan semasa.

Kenderaan kita makin besar makin berat, sudah pasti perlu kaji kembali keseluruhan jambatan di negara kita, adakah ia akan dapat menampung dengan teknologi yang ada.

Sebab itu dah buat kajian dan kenal pasti ada beberapa jambatan yang perlu kita naik taraf supaya ia dapat menampung muatan yang lebih khusus untuk muatan berat dan juga kedudukan jambatan lama,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek Jambatan Parit Keliling, dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai status jambatan-jambatan lama yang perlu dinaik taraf termasuk jambatan-jambatan di Johor.

Difahamkan daripada 159 jambatan itu, 19 jambatan berada di tahap kritikal dan perlu dinaik taraf dalam masa dua tahun manakala 140 jambatan lagi dijangka dinaik taraf dalam masa lima tahun akan datang.

Kajian sudah ada cuma apa yang kita perlu adalah peruntukan. Untuk 19 jambatan itu, kita jangka kosnya melebihi RM80 juta,” kata Fadilah.

Antara jambatan di Johor yang termasuk senarai untuk dinaik taraf termasuk Jambatan Sungai Nibong di Batu Pahat. — Bernama

Advertisement