Anda di sini

Wanita antara ditahan bersama 30kg daun ketum

Advertisement

PARIT: Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita dan merampas hampir 30 liter air ketum di Bota dekat sini dalam dua serbuan berasingan, sejak Jumaat lepas.

Kedua-dua suspek yang dipercayai pengedar air ketum itu ditahan bersama 30 kilogram daun ketum dan peralatan dipercayai untuk memproses air ketum.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan pertama di belakang sebuah rumah di Kampung Semangat 2, Titi Gantung, Jumaat lepas, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun yang sedang memproses disyaki daun ketum kira-kira jam 6.15 petang.

Kita turut menjumpai dan merampas sebuah tong ais mengandungi 15 peket plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum anggaran 6.75 liter dan sebuah botol plastik mengandungi 1.5 liter dipercayai air ketum.

Kita juga merampas sebuah bakul dan besen besar mengandungi 26 kilogram disyaki daun ketum, sebuah periuk besar dan tungku besi, tong gas dan juga wang tunai bernilai RM610 dipercayai hasil penjualan air ketum,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohamad Zainal berkata dalam serbuan kedua kelmarin, seorang wanita berumur 32 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Nasaruddin, Bota kira-kira jam 6.43 petang.

Hasil pemeriksaan menjumpai satu peket plastik berisi daun ketum seberat satu kilogram di dalam peti sejuk dan sebuah periuk berisi cecair disyaki air ketum seberat 26 liter,” katanya.

Mohamad Zainal berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. — Bernama

Advertisement