Anda di sini

Tiga pensyarah PKS hasilkan dua produk untuk bantu IKS

Advertisement
 Mujan melakukan demonstrasi membuat manik kaca sambil diperhatikan (dari kanan) Kamaludin, Meriamah dan Timbalan Pengarah (Akademik) PKS Mohd Shah Yunus.
DEMONSTRASI: Mujan melakukan demonstrasi membuat manik kaca sambil diperhatikan (dari kanan) Kamaludin, Meriamah dan Timbalan Pengarah (Akademik) PKS Mohd Shah Yunus.
 (Dari kanan) Dr Ong, Ho, Andy dan seorang pekerja Gold Rabbit Farm bersama kontena khas yang dipasang dengan alat kawalan kelembapan udara.
PENYELESAIAN: (Dari kanan) Dr Ong, Ho, Andy dan seorang pekerja Gold Rabbit Farm bersama kontena khas yang dipasang dengan alat kawalan kelembapan udara.

KEJAYAAN tiga pensyarah Politeknik Kuching Sarawak (PKS) menghasilkan dua produk inovasi di bawah Program ‘Public-Private Research Network’ (PPRN) merupakan titik permulaan dalam usaha meningkatkan lagi jaringan usaha sama antara PKS dan pengusaha industri kecil dan sederhana di negeri Sarawak.

 Tiga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal tersebut yang terdiri daripada Dr Ong Tze Ching, Ho Rui Jin dan Andy Buja telah berjaya mencipta Mesin Pembuatan Manik Kaca (Torch for Bead Forming Process) dan Tempat Penyimpanan Kering Untuk Makanan Berpalet (Dry Storage for Pelleted Rabbit Feed).

 Ketua Penolong Pengarah Unit Inovasi, Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik Norkamal Jaafar, dalam ucapan beliau semasa majlis penyerahan dua mesin tersebut berkata, daripada lebih 300 projek di bawah PPRN yang diperuntukkan kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Politeknik telah mendapat 70 projek untuk dilaksanakan pada tahun 2016.

 “Daripada jumlah tersebut Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersilan (UPIK) PKS telah diberi dua projek yang melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM48,000.

 Jumlah projek akan ditambah kepada enam pada tahun 2017,” katanya lagi.

 Menurut Norkamal, PPRN yang telah dilancarkan secara rasminya pada 24 Februari 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pelengkap kepada Lonjakan Ketujuh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM (PT)), iaitu memperkasakan pembangunan ekosistem inovasi dalam kalangan IPTA di negara ini.

 Tiga pensyarah PKS hasilkan dua produk untuk bantu IKS “Public-Private Research Network bertujuan meningkatkan peranan IPTA sebagai penyelesai masalah yang dihadapi oleh pengusaha perusahaan kecil dan sederhana dalam bidang strategik bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

 “Dua komponen penting dalam PPRN ialah inovasi pengeluaran dan inovasi proses bertujuan menghasilkan impak jangka panjang dalam aspek meningkatkan skala pengeluaran yang lebih cekap dan efisien melalui ‘state-of-art technology’,” tambah beliau.

 Pengarah PKS Kamaludin Daud dalam ucapan alu-aluan beliau pula berharap pensyarahpensyarah lain di PKS mengambil peluang daripada peruntukan di bawah PPRN untuk memperkasakan tahap kompetensi masingmasing dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

 Sementara itu, penerima mesin pembuatan manik kaca, Mujan Nyeigen menzahirkan kesyukuran dan terima kasih beliau kepada PKS atas pemilihan Victoria’s Enterprise sebagai syarikat perintis dalam pelaksanaan PPRN di negeri Sarawak.

 “Selama ini saya menggunakan kaedah konvensional, iaitu menggunakan peralatan kimpalan gas yang telah diubah suai.

 Selain sering kali rosak, besar dan sukar untuk dialihkan, peralatan tersebut juga mengeluarkan haba yang tidak sekata.

 “Dengan terciptanya mesin baharu ini saya penuh yakin jumlah pengeluaran akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang,” kata usahawan dari kaum Kayan yang berasal dari Tubau itu.

 Ibu kepada tujuh anak ini yang juga pemenang Anugerah Usahawan Manik Kebangsaan sempena Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015 yang diadakan di Kota Samaharan ini, menggunakan bahanbahan kaca terpakai seperti botol dan kaca yang dileburkan secara manual untuk menghasilkan bahan mentah untuk membuat pelbagai bentuk rantai, gelang dan lain-lain produk kraf tangan daripada manik kaca.

 Mujan, mengusahakan perusahaan kraf tangan di bengkel tetap beliau di Lot E4,5,6 Medan Niaga Jepak, Bintulu.

 Seorang lagi penerima produk di bawah program ini ialah Meriamah Terkee, pemilik Gold Rabbit Farm dari Bintangor.

 Menurut Meriamah, masalah yang mereka sering kali hadapi ialah kadar kematian arnab yang agak tinggi akibat penyakit cirit-birit disebabkan pencemaran fungus dan kulat pada makanan ternakan disebabkan kelembapan relatif udara yang tinggi.

 Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada tiga penyelidik dari PKS yang diketuai oleh Ho yang begitu komited menjalankan kajian hingga berjaya mencipta mesin pengawal kelembapan udara sebagai penyelesaian kepada masalah yang kami hadapi selama ini,” jelas beliau kegembiraan.

 Beliau yang dibantu oleh anak saudaranya, Sia Soon Ang yang juga bekas pelajar PKS dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal memelihara 7,000 ekor arnab dalam 13 buah bangsal.

 “Walaupun sudah mendapat pekerjaan di Johor saya suruh dia (Soon Ang) pulang ke Bintangor sebab saya mahu melatih dia menjadi usahawan.

 Selain daripada membantu menguruskan ternakan dia juga membantu saya dalam aspek pemasaran, menguruskan kilang memproses sate di Miri, saya juga menjadikan dia sebagai rakan kongsi dalam perniagaan saya,” tambah Meriamah lagi.

 Sementara itu Ho salah seorang pesyarah yang terlibat dalam dua projek tersebut berkata, walaupun nampak mudah namun banyak penyelidikan dan uji kaji dijalankan sebelum dua produk itu berjaya dihasilkan.

 “Untuk mencipta mesin pembuatan kaca manik, kami mereka muncung (torch) khas yang boleh memberikan haba yang tertumpu, konsisten serta bersesuaian dengan proses menghasilkan manik daripada kaca yang berkualiti tinggi,” jelas beliau.

 Dr Ong rakan penyelidik Ho yang juga Ketua UPIK PKS pula berkata, kerja-kerja menyiapkan kedua-dua mesin tersebut bermula pada 1 Ogos 2016 dan dapat disiapkan dalam masa enam bulan.

 “Komitmen yang tinggi, dedikasi dan kesabaran amat diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk inovasi terutamanya yang melibatkan kerja-kerja penyelidikan dan kajian lapangan,” tegas beliau.

 Menyentuh mengenai enam projek di bawah PPRN yang diperuntukkan untuk PKS tahun ini, Dr Ong berkata, pelaksanaannya bergantung kepada permasalahan yang dikemukakan oleh syarikat-syarikat serta kemampuan para pensyarah yang berminat.

 “Projek-projek yang melibatkan aspek hidrolik dan pneumatic melibatkan kos yang agak tinggi, iaitu melebihi RM50,000 sedangkan peruntukan kewangan maksimum untuk program ini hanya RM50,000,” jelas beliau.

  • oleh
  • Advertisement