Anda di sini

Dasar kabotaj dimansuh

Advertisement

Pengecualian dasar kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Jun.

SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Naib Tun Razak semalam mengumumkan pengecualian dasar kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Jun depan.

 Najib berkata dengan pengecualian dasar kabotaj itu, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak lagi terikat dengan dasar yang dikenakan ke atas semua aktiviti perkhidmatan perkapalan kargo antara Semenjanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 "Orang Sabah kata, jangan lagi pakai dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 Saya nak beritahu bahawa atas saranan Kerajaan Negeri Sabah dan Barisan Nasional Sabah, maka mulai 1 Jun 2017 ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pengecualian dasar kabotaj bagi perkhidmatan yang menjalankan aktiviti kargo.

 "Maknanya (pengecualian ini adalah) dari mana-mana pelabuhan di Semenanjung Malaysia ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dan sebaliknya, di antara pelabuhan dalam negeri Sabah dan pelabuhan negeri Sarawak.

 "Bagaimanapun, ini tidak terpakai kepada kapal-kapal yang beroperasi di antara Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekspresi Negaraku di Padang Perbandaran Sandakan di sini semalam.

 Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, beberapa menteri kebinet negeri dan persekutuan serta pemimpin masyarakat.

 Menurut Najib dengan pengeculian itu, tidak ada lagi isu yang dikatakan ramai pihak sebelum ini yang menyebut bahawa dasar kabotaj menjadi punca kenaikan harga barang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 Sementara itu, Najib berkata kerajaan persekutuan komited untuk menepati janjinya menambah bilangan rakyat Sabah bagi mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan di negeri ini seperti diumumkannya sebelum ini.

 Sebagai contoh kata Najib, ketika mengumumkan komitmen itu beberapa tahun lalu, hanya 72 peratus guru di Sabah adalah terdiri daripada rakyat Sabah dan kini jumlahnya telah bertambah kepada lebih 80 peratus.

 “Ini kita akan naikkan kepada 90 peratus dalam masa tiga tahun akan datang.

 Begitu juga doktor.

 Doktor di kalangan rakyat Sabah sudah mencapai 40 peratus sekarang ini.

 Kita akan beri peluang lagi kepada orang dalam perkhidmatan awam,” katanya.

 Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, semalam beliau menepati janji kepada rakyat Sandakan yang dibuatnya ketika melawat Sandakan pada 3 Mac lalu untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan.

 Beliau berkata majlis pecah tanah bagi kerja menaik taraf lapangan terbang berkenaan akan dilakukannya dan dengan menaik taraf lapangan terbang itu, diharap dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa seperti dari China, Korea, Jepun, negara-negara ASEAN dan sebagainya melawat Sandakan.

 “Kontraktor sudah ditentukan.

 Ia akan melaksanakan projek ini.

 Peruntukan saya dah sediakan sebagai Menteri Kewangan sebanyak RM80 juta,” katanya.

 — Bernama

Advertisement