Anda di sini

‘Wanita paling berat di dunia’ dirawat di hospital Abu Dhabi

Advertisement
 Wanita Mesir, yang sudah menjalani pembedahan  mengurangkan berat badan pada Mac lalu, diusung keluar dari hospital di Mumbai, India kelmarin. — Gambar Reuters
TERLAMPAU BERAT: Wanita Mesir, yang sudah menjalani pembedahan mengurangkan berat badan pada Mac lalu, diusung keluar dari hospital di Mumbai, India kelmarin. — Gambar Reuters

ABU DHABI: Seorang wanita Mesir yang dipercayai wanita paling berat di dunia sebelum dia menjalani pembedahan dimasukkan ke hospital di Abu Dhabi kelmarin untuk meneruskan rawatan selepas pembedahan drastik untuk mengurangkan berat badan di India.

Eman Ahmed Abd El Aty seberat kira-kira 500 kilogram sebelum pembedahan di Mumbai pada Mac lalu yang menyaksikannya mengurangkan kira-kira satu perlima daripada berat badannya.

Dia mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk ‘elephantiasis’, satu keadaan yang membengkakkan tangan, kaki dan bahagian badan lain.

Abd El Aty diberi pemakanan cecair khas di India untuk mengurangkan berat badannya secukupnya supaya doktor dapat menjalankan pembedahan bariatrik – satu prosedur pintasan menguncup perut yang semakin biasa di India, yang mempunyai masalah kegemukan yang semakin serius.

Dia tiba di India dengan menaiki pesawat Airbus yang diubah suai khas pada Februari lalu dan kini sudah mengurangkan 323 kilogram yang menakjubkan dalam tempoh tiga bulan.

Dengan berat badannya setakat ini 176.6 kilogram, dia akan memulakan kursus fisioterapi selama setahun di Hospital VPS Burjeel di Abu Dhabi, kata doktornya di Mumbai.

“Kami sudah menempah pengusung hidraulik dari Itali untuk perjalanan Eman dan dia akan diiringi doktor, paramedik dan jururawat sewaktu perjalanan,” kata Sanet Meyer, pengarah ‘medevac’ di VPS Burjeel, kepada AFP sebelum perjalanan bermula.

Akhbar Emiriah Arab Bersatu melaporkan saudara perempuan Abd El Aty, Shaima, tidak setuju dengan cara pasukan perubatan di India menjalankan rawatan.

“Saya meminta bantuan (di Emiriah) selepas memerhatikan tiada kemajuan,” katanya kelmarin.

Abd El Aty tidak pernah meninggalkan rumahnya di kota pelabuhan Iskandariah, Mesir, dekat Laut Mediterranean, selama dua dekad sebelum dia tiba di India.

Keluarganya memberitahu doktor dia didiagnos dengan ‘elephantiasis’ ketika kanak-kanak, menyebabkan hampir tidak dapat bergerak.

Abd El Aty pernah mengalami serangan angin ahmar dan berdepan dengan beberapa penyakit serius lain disebabkan oleh berat badannya termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi, hipertensi dan kekurangan tidur.

Dia tidak dapat bercakap dengan elok dan lumpuh sebahagian badan.

India merupakan destinasi utama untuk pelancong perubatan yang mahukan khidmat ber-kualiti dan tiada senarai menunggu pada kos yang sedikit berbanding kos di negara barat.

Pada Julai tahun lepas, Guinness Book of World Records merekodkan Pauline Potter dari Amerika Syarikat sebagai wanita paling berat di dunia seberat 293 kilogram, jauh di atas berat badan Abd El Aty sekarang. — AFP

Advertisement