Anda di sini

Pelbagai aktiviti warnai sukaneka Tabika KEMAS

Advertisement
Gambar sumbangan Tabika KEMAS Taman Kenari Kemuyang s
Gambar sumbangan Tabika KEMAS Taman Kenari Kemuyang s

PELBAGAI aktiviti telah mewarnai Sukaneka Tahunan Ibu Bapa Tabika KEMAS Taman Kenari Kemuyang Kelas A dan B yang diadakan di Kompleks PERYATIM Kemuyang di Sibu, baru-baru ini.

Selain itu, ia turut disertai oleh penghuni PERYATIM, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tadika Perpaduan yang dijemput bersama bagi memeriahkan lagi sukaneka itu.

Antara jenis sukaneka yang diadakan ialah tarik tali, boling kelapa, main galah panjang, sambut getah menggunakan straw, lari dalam guni, makan telur paling cepat, pertandingan mewarna dan pertandingan futsal.

Bagi sukaneka acara individu yang dipertandingkan ialah menganyam ketupat, ‘pecah telur’, gusti kelapa tua dan minum air Coca Cola paling cepat.

Sebelum sukaneka bermula, acara senamrobik adalah pembuka tirai program.

Program dirasmikan oleh Penyelia Pra Sekolah KEMAS Bahagian Sibu Rosmi Omar.

Sementara itu, dua Pemangku Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu Zulkipli Muhammad Nazri dan Noridzwan Sawi telah merasmikan pertandingan mewarna antara kanak-kanak Tabika Perpaduan.

Hadir sama ialah Pengerusi Tabika KEMAS Taman Kenari Kemuyang Kelas A dan B Mainam Basir serta dua guru kelas tabika tersebut iaitu Jacqueline Vetty Ngilah dan Patricia Anggie.

Menurut Rosmi, sukaneka adalah satu program yang menjurus ke arah mengeratkan silaturahim antara pemaju masyarakat, ibu bapa dan penduduk setempat di sesebuah kawasan perumahan seperti di Taman Kenari, Kemuyang.

Justeru jelasnya, program ini dirancang dan diharapkan dapat membantu untuk memperkenalkan Tabika KEMAS kepada penduduk setempat.

“Dengan adanya program ini pihak Tabika KEMAS Taman Kenari Kemuyang Kelas A dan B berharap dapat menarik lebih ramai lagi ibu bapa untuk mendaftar anak-anak yang berumur empat hingga enam tahun untuk mendaftar di tabika tersebut,” tambahnya lagi.

Objektif program ini ialah untuk meningkatkan semangat kesukarelawan dalam kalangan penduduk dengan membina semangat kerjasama antara pemaju masyarakat dan ibu bapa.

Pihak Tabika KEMAS tersebut berkesempatan merakamkan beberapa detik menarik sepanjang program berlangsung bagi dikongsi dengan pembaca akhbar ini.

 
  • oleh
  • Advertisement