Anda di sini

‘Jagat’, ‘Interchange’ dan ‘Pekak’ bertanding dalam AIFFA 2017

Advertisement
 Uggah tercuit dengan perbualan lucu bersama Phua Chu Kang serta Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian (dua kiri) dan Lee (kiri).
LUCU: Uggah tercuit dengan perbualan lucu bersama Phua Chu Kang serta Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian (dua kiri) dan Lee (kiri).

KUCHING: Tiga filem Malaysia iaitu ‘Jagat’, ‘Interchange’ dan ‘Pekak’ tersenarai dalam senarai pendek filem yang bertanding dalam Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2017.

Filem ‘Jagat’ tersenarai dalam dua kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Harvin Raj) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Kuben Mahadevan).

Manakala filem ‘Interchange’ dan ‘Pekak’ masing-masing  tersenarai dalam kategori Pengarah Fotografi Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Sharifah Sakinah). 

AIFFA 2017 yang memasuki edisi ketiga tahun ini telah dibuka dengan rasminya malam kelmarin oleh  Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Acara pembukaan berlangsung di Panggung Udara, Taman Budaya di sini dengan malam kemuncak anugerah pada 6 Mei ini.

Selain tiga filem dari Malaysia, AIFFA kali ini turut menyaksikan persaingan hebat filem-filem dari Indonesia, Filipina, Vietnam dan Laos.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Lakon Layar Terbaik, Suntingan Filem Terbaik, Pengarah Fotografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.

Dalam pada itu, malam pembukaan AIFFA kelmarin turut menyaksikan pengumu-man pemenang bagi pertandingan filem pendek ‘Young Cuts Sarawak’.

Pemenang bagi pertandingan ini telah dinobatkan kepada At Adau menerusi filem ‘Ajen Oku’ (Wait For Me) dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi.

Filem bertajuk ‘Kumang’ oleh Jeremy Jacky pula memenangi tempat kedua dan menerima hadiah  wang tunai RM4,000 juga beserta trofi.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Taktik Kotor Production menerusi filem bertajuk ‘Sense of My Fairland’ dan menerima hadiah wang tunai RM3,000 beserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin diiringi Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan, Datu Ik Pahon Joyik serta Pengarah  Festival AIFFA 2017, Livan Tagang.

Acara pada malam itu dimeriahkan lagi dengan penampilan pelawak terkenal dari Singapura iaitu Phua Chu Kang serta maskot Upin dan Ipin.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan oleh penyanyi terkenal tanahair Datuk David Arumugam dari Alleycats dan penyanyi kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah.

Pelakon terkenal dengan watak Ip Man iaitu Donnie Yen turut ditampilkan buat pertama kalinya pada AIFFA kali ini untuk bertemu bersama peminat.

 Lee (dua kanan) merakamkan gambar bersama para pemenang pertandingan filem pendek ‘Young Cuts Sarawak’ sempena AIFFA 2017 pada Khamis lepas. Turut kelihatan Ik (kanan) dan Livan (kiri).
PEMENANG: Lee (dua kanan) merakamkan gambar bersama para pemenang pertandingan filem pendek ‘Young Cuts Sarawak’ sempena AIFFA 2017 pada Khamis lepas. Turut kelihatan Ik (kanan) dan Livan (kiri).
 Datuk David Arumugam (kanan) menyanyikan beberapa  buah lagu hitsnya ditemani oleh dua orang peminat.
MENGHIBURKAN: Datuk David Arumugam (kanan) menyanyikan beberapa buah lagu hitsnya ditemani oleh dua orang peminat.
 Acara AIFFA 2017 membuka tirai pada malam pembukaan di Panggung Udara, Taman Budaya di Kuching, Khamis lepas.
LANCAR: Acara AIFFA 2017 membuka tirai pada malam pembukaan di Panggung Udara, Taman Budaya di Kuching, Khamis lepas.
  • oleh
  • Advertisement