Anda di sini

Dana dan N30 bakal jadi tukun tiruan perairan Miri

Advertisement
 Belayong (duduk tengah) menunjukkan inisiatif tukun tiruan oleh kerajaan di Sarawak sambil disaksikan oleh Buniamin (duduk kiri) dan Fairol Tajuddin (duduk kanan) serta para nelayan.
TUKUN TIRUAN: Belayong (duduk tengah) menunjukkan inisiatif tukun tiruan oleh kerajaan di Sarawak sambil disaksikan oleh Buniamin (duduk kiri) dan Fairol Tajuddin (duduk kanan) serta para nelayan.

MIRI: Dua pelantar minyak dinamakan sebagai Dana dan N30 milik syarikat Petronas akan dilabuh menjadi tukun tiruan di perairan Miri pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Belayong Nyuak berkata usaha ini merupakan usaha sama melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Petronas melaksanakan tukun tiruan daripada pelantar minyak terpakai atau tidak menghasilkan minyak lagi.

“Untuk tukun tiruan menggunakan pelantar minyak ini memang dimula di bahagian Miri sejak 2004 lagi apabila kita melabuh pelantar minyak dinamakan sebagai Baram 8.

“Jika mengikut perancangan asal, bahagian kejuruteraan akan memulakan proses mereka bentuk dan pemotongan bermula Julai tahun ini manakala penghujung tahun pelantar minyak itu akan dilabuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Jabatan Perikanan Laut Sarawak, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Unit Perlindungan Sumber, Fairol Tajuddin Suhaili dan Ketua Wilayah Perikanan Tiga, Buniamin Kiprawi.

Belayong berkata apabila dua pelantar minyak ini dilabuh kelak, ia akan memberi manfaat kepada nelayan sekitar juga kaki pancing.

“Ini secara langsung memberi pulangan lumayan kepada golongan nelayan baik segi peningkatan jumlah hasil tangkapan serta menggalak industri perikanan rekreasi yang dilihat dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Tahun hadapan pula,  kami akan meletak tukun konkrit di beberapa tempat yang dikenal pasti kemudian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Belayong berkata pihaknya bekerjasama dengan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bagi menjalankan penyelidikan saintifik mengenai keberkesanan tukun tiruan di Sarawak.

“Kajian tersebut akan bermula dari 13 Mei sehingga 19 Mei hadapan di Sematan, dan pada masa akan datang kajian turut dibuat di kawasan lain,” katanya.

Projek pembangunan tukun tiruan di Sarawak telah dijalankan sejak tahun 1984, bermula dengan tukun tayar terpakai (195,641 unit), tukun vesel rampasan (155 buah), satu struktur pelantar minyak terpakai (pelantar Baram 8) dan pelbagai reka bentuk tukun tiruan berasaskan konkrit.

Dari tahun 2001 hingga 2016 sebanyak 3,563 unit turun konkrit pelbagai jenis telah dilabuhkan di 25 lokasi berbeza sekitar perairan Sarawak termasuk tiga lokasi di laut Miri yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM16.2 juta.

Bagi tahun 2017, kerajaan melalui Jabatan Perikanan Laut Sarawak memperuntuk sebanyak RM3 juta bagi mempergiat usaha membina tukun tiruan.

Advertisement