Anda di sini

ASP didakwa setuju terima suapan

Advertisement
 Rantai dihadapkan di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan bersetuju menerima suapan RM4,000 sebagai dorongan untuk melepaskan seorang warga Bangladesh yang ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah, dua bulan lalu di Shah Alam. — Gambar Bernama
SUAPAN: Rantai dihadapkan di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan bersetuju menerima suapan RM4,000 sebagai dorongan untuk melepaskan seorang warga Bangladesh yang ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah, dua bulan lalu di Shah Alam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersetuju menerima suapan RM4,000 sebagai dorongan untuk melepaskan seorang warga Bangladesh yang ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah, dua bulan lalu.

ASP Rantai Giling, 46, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Pegawai polis terbabit didakwa bersetuju menerima rasuah itu daripada Azizur Rahman, seorang warga Bangladesh, sebagai dorongan untuk melepaskan pekerja Azizur, Rostam Ali Sheikh, juga warga Bangladesh, yang ditahan di IPD Gombak kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Taman Prima Selayang, Batu Caves, Gombak, kira-kira jam 5.50 petang, 29 Mac lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang  lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Mahamad Sukri Abu Seman mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pegawai polis itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan yang dicadangkan atas alasan dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta lima anak yang masih bersekolah.

Hakim Rozilah kemudian memutuskan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan selama dua hari bermula 4 Sept depan.

Mahkamah turut menetapkan 5 Jun depan untuk pengurusan kes. — Bernama

Advertisement