Anda di sini

Suspek pecah rumah, curi direman bantu siasatan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi diperintah Mahkamah Majistret supaya direman lima hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan penolong pegawai penyiasat Sarjan Zairustam Abdullah dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Zairustam memberitahu pada 30 Mac lalu, seorang ahli perniagaan dari Jalan Bakam telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri di sini.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 8.30 pagi, 30 Mac lalu, beliau mendapati premisnya yang terletak di Jalan Miri-Bintulu telah dipecah masuk oleh pencuri melalui pintu hadapan di tingkat satu.

Beliau membuat pemeriksaan lanjut mendapati lima buah topi keledar pelbagai jenis, tiga biji bateri kereta, beberapa alat ganti motosikal, beberapa jenis aksesori motosikal, satu set komputer, satu set perakam kamera litar tertutup dan pelbagai jenis barang enjin motosikal telah hilang.

Kerugian dialami dianggarkan bernilai RM47,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 2 petang, 2 Mei lalu di tepi Jalan Kwangtung di sini, polis berjaya menangkap seorang lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Zairustam memberitahu bahawa reman selama tujuh hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 25 tahun, masing-masing dari Desa Indah, Bandar Baru Permyjaya dan Pujut 8C di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Tambahan polis masih memerlukan masa untuk mengesan barang kes dan suspek-suspek yang masih bebas, justeru membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, Majistret Zuraini Ali Musa hanya membenarkan reman selama lima hari ke atas suspek pertama. Manakala suspek kedua dibebaskan.

Advertisement