Anda di sini

Sebangga Auto Sdn Bhd buka Pusat 4S di Sarawak

Advertisement
 Ambrose (dua kiri) bersama penasihat jualan Sebangga Auto Sdn Bhd menunjukkan antara kereta Subaru yang dipamerkan di galeri pameran di Vivacity.
HEBAT: Ambrose (dua kiri) bersama penasihat jualan Sebangga Auto Sdn Bhd menunjukkan antara kereta Subaru yang dipamerkan di galeri pameran di Vivacity.

KUCHING: Pengedar tunggal kenderaan jenama Subaru di Malaysia, Sebangga Auto Sdn Bhd kini mengembangkan cawangannya ke Bumi Kenyalang dengan membuka Pusat 4S yang pertama di Pending dekat sini Julai depan sebagai hab utamanya di Sarawak.

 Justeru sebagai permulaan, ia telah membuka galeri pameran sementara di pusat beli-belah Vivacity di sini yang mempamerkan antara kereta pilihan iaitu model XV dan Forester.

 “Kami mahu memberi peluang kepada orang Sarawak untuk memandu sendiri Subaru XV dan Subaru Forester selain boleh memandu uji di sekitar Kuching untuk merasai sendiri pengalaman memandu kereta yang hebat ini,” kata Pengasas Sebangga Auto, Dato Arif Ambrose Ng kepada media di sini, semalam.

 Selain di Kuching, Ambrose berkata pihaknya turut merancang untuk membuka cawangan baharu di Miri dan Bintulu pada penghujung tahun ini.

 Sementara bagi memperkenalkan lagi model-model hebat Subaru kepada orang ramai di sini, beliau berkata Sebangga Auto akan mengadakan jerayawara di Vivacity pada 1 hingga 4 Jun nanti.

 Antara model yang akan dipamerkan ialah Subaru WRX yang digunakan dalam filem ‘Fast and Furious 8’.

 “Kami berharap masyarakat di Kuching datang beramai- ramai ke jerayawara Subaru yang julung kali diadakan di negeri ini untuk melihat sendiri kereta-kereta yang hebat seperti model WRX, yang telah digunakan untuk filem Fast and Furious 8,” katanya.

 Subaru adalah bahagian pembuatan kereta konglomerat pengangkutan Jepun, Subaru Corporation (sebelum ini dikenali sebagai Fuji Heavy Industries).

 Kereta Subaru terkenal dengan penggunaan susun atur enjin ‘boxer’ dalam kebanyakan kenderaan berkuasa 1500 cc ke atas.

 Kebanyakan model Subaru juga menggunakan Pacuan Semua Roda Simetri.

 Pengecualian tunggal adalah BRZ, diperkenalkan pada tahun 2012, yang menggunakan enjin ‘boxer’ tetapi sebaliknya menggunakan struktur pacuan roda belakang.

 Subaru juga menawarkan versi ‘turbocharged’ bagi kereta penumpang mereka, seperti Impreza WRX dan Legacy 2.5GT. Model 2.5XT daripada Outback dan Forester juga merangkumi enjin turbocharged.

 Pertumbuhan Subaru di Malaysia adalah hasil daripada sokongan yang besar daripada pelanggan ke atas model SUV XV mereka sejak 5 tahun yang lalu.

 Berikutan kejayaan model popular ini, Subaru melancarkan dua model yang dipasang dalam negara pada April tahun lepas dengan SUV Forester yang terkenal dan lebih besar.

Advertisement