Anda di sini

Ribut debu selubungi utara China dan Beijing, penerbangan dibatal

Advertisement
 Dewan Besar Rakyat hampir tidak kelihatan ketika ribut debu melanda Beijing, China semalam. — Gambar Reuters
SABUT KELABU: Dewan Besar Rakyat hampir tidak kelihatan ketika ribut debu melanda Beijing, China semalam. — Gambar Reuters

BEIJING: Ribut debu yang serius menyelubungi utara China dan Beijing semalam, memaksa pihak berkuasa untuk membatalkan puluhan penerbangan dan menasihatkan kanak-kanak dan warga emas untuk duduk di dalam rumah.

Bangunan diselubungi asbut kelabu di ibu kota manakala penduduk yang keluar dari rumah menutup mulut dan hidung mereka dengan sarung muka dan bandana.

Sekurang-kurangnya 48 penerbangan dibatalkan, termasuk enam laluan antarabangsa di Asia dan Russia, menurut laman sesawang Lapangan Terbang Ibu Negara Beijing.

Ribut itu kerap berlaku pada musim bunga, apabila angin dari barat laut China meniup pasir dan tanah kering yang longgar ke dalam bandar raya itu dari gurun Gobi, dan menyelimuti kawasan bandar dengan lapisan kotoran ku-ning.

Penglihatan di Beijing serendah satu kilometer pada sebelah pagi, menurut media kerajaan.

Paras jirim zarahan besar, dikenali sebagai PM 10, berkisar sekitar 900 pada lewat pagi, menurut laman sesawang pemantauan kualiti udara aqicn.org, atau hampir 20 kali pendedahan maksimum harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Paras tinggi itu menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia, dan bandar raya berkenaan menasihatkan kanak-kanak dan warga emas untuk duduk di rumah.

Ribut itu akan meliputi beberapa bahagian yang besar di barat laut negara sehingga esok, menurut badan penyiaran kerajaan CCTV.

Beijing cuba memerangi fenomena itu dengan kawasan hijau di sekeliling bandar raya, tetapi penggurunan di barat laut negara telah menggagalkan usaha tersebut. — AFP

Advertisement