Anda di sini

Program Jejak Aspirasi Belia dedah peluang pembangunan kendiri belia

Advertisement

LUNDU: Program Jejak Aspirasi Belia yang berlangsung satu hari di Dewan Masyarakat Lundu baru-baru ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 peserta dalam kalangan pelajar Tingkatan 5 dan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan dan SMK Lundu.

Malah, program anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak itu juga disertai seramai 20 pelajar lepasan sekolah.

Program tersebut bertujuan menyediakan platform untuk memberi pendedahan kepada generasi muda, khasnya di kawasan luar bandar, tentang peluang pembangunan kendiri terutama dalam aspek pendidikan dan kerjaya.

Sepanjang program itu, para peserta mendengar sesi ceramah yang antaranya disampaikan oleh perwakilan Yayasan Sarawak berkaitan program biasiswa yang ditawarkan pihaknya.

Selain itu, Centre of Technical Excellence (CENTEXS) turut menyampaikan ceramah berkaitan pendidikan teknikal yang ada di pusat tersebut.

Para peserta juga diberi pendedahan tentang kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang disampaikan oleh wakil Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Komputer, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengenai dasar ekonomi digital.

Menjayakan lagi program itu, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak menyampaikan ceramah motivasi dan berkongsi tips mencari kerjaya yang bersesuaian dengan bakat serta kebolehan sedia ada.

Sebagai sebahagian daripada tentatif program, para peserta diagihkan ke dalam kumpulan dan menjalankan aktiviti interaktif berkumpulan yang diselia oleh sukarelawan belia AZAM, pegawai Yayasan Sarawak dan AZAM serta pelajar UNIMAS.

Aktiviti berkumpulan ini bertujuan memberi pendekatan kepada para peserta dan belia dalam sesi ‘hands-on’ yang menekankan mengenai kepentingan seni halus dan kreativiti, kemahiran ICT, kemahiran temu duga dan menguasai bahasa Inggeris.

Program Jejak Aspirasi Belia diperkenalkan oleh AZAM pada 2012 dan pernah diadakan sebelum ini di Niah, Kapit, Mukah, Marudi, Bau, Song dan Sri Aman.

Program itu juga membawa harapan untuk menyumbang ke arah usaha kerajaan dalam memastikan jurang digital antara luar bandar dan bandar di negeri ini dapat dikurangkan.

Advertisement