Anda di sini

Media Korea U, China berbalah

Advertisement

Pyongyang berang Beijing ‘ikut rentak AS’ kecam program nuklearnya

 Tentera Korea Utara meneropong dari kapal di Sungai Yau berhampiran bandar sempadan Dandong di China pada Selasa lalu. — Gambar Reuters
INTAI: Tentera Korea Utara meneropong dari kapal di Sungai Yau berhampiran bandar sempadan Dandong di China pada Selasa lalu. — Gambar Reuters

SEOUL: Media Korea Utara dan China berbalah semalam selepas agensi berita rasmi Pyongyang mengeluarkan satu kecaman pedas yang jarang dilakukannya terhadap penyokong diplomatik dan sekutu utamanya itu.

Beijing sepatutnya berterima kasih kepada Pyong-yang di atas perlindungannya, kata satu komentari dengan nama penulis yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), dan memberi amaran tentang “akibat yang serius” jika China menguji kesabarannya lagi.

Akhbar Global Times di China membalas bahawa Korea Utara yang memiliki senjata nuklear berada dalam genggaman “bentuk logik yang tidak rasional” berhubung program nuklearnya.

Beijing dan Pyongyang menjalin hubungan yang dimeterai dengan darah Perang Korea, dan negara gergasi Asia itu masih menjadi pembekal utama bantuan dan dagangan ke negara jirannya yang degil itu.

Namun hubungan mula tegang sejak beberapa tahun lalu, dengan China yang semakin geram dengan gelagat nuklear Korea Utara dan bimbang mengenai krisis serantau.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un belum lagi melawat Beijing, lebih lima tahun selepas beliau memegang kuasa.

Teks yang berlawanan menunjukkan tahap kemerosotan hubungan di antara kedua-dua negara. KCNA kerap menyiarkan kecaman yang ketara terhadap Amerika Syarikat, Jepun dan pihak berkuasa Korea Selatan, tetapi ia jarang sekali mempamerkan kemarahan kepada China.

Beijing kerap menyeru kepada semua pihak untuk mengelak daripada memburukkan ketegangan – kenya-taan yang boleh diguna pakai kepada Washington dan Pyongyang – dan pada Februari lalu ia mengumumkan penggantungan import arang batu dari Korea Utara pada tahun ini, satu sumber matawang asing yang amat penting untuk pihak berkuasa.

Media kerajaan China me-nuntut sekatan ekonomi lebih keras terhadap Korea Utara jika berlaku satu lagi ujian atom, dan menggesa Pyongyang untuk “mengelak daripada membuat kesilapan”, dan bercakap tentang keperluan baginya untuk menamatkan program nuklearnya.

Komentari KCNA mengecam akhbar People’s Daily, wadah rasmi Parti Komunis China, dan Global Times, yang kadang-kadang mencerminkan pemikiran barisan kepimpinan, sebagai “membangkitkan alasan yang lemah bagi tindakan keji untuk mengikut rentak AS”.

Cadangan China agar Korea Utara menyerahkan senjata-nya melintasi “garisan merah” dan merupakan “teori yang didorong oleh ego berdasarkan cauvinisme kuasa besar”, kata artikel dengan nama penulis ‘Kim Chol’ – dipercayai nama samaran.

DPRK tidak akan merayu untuk memelihara persahabatan dengan China dan menjejaskan program nuklearnya, yang tidak ternilai seperti nyawanya sendiri,” katanya yang merujuk kepada nama rasmi Korea Utara, Republik Rakyat Demokratik Korea.

Pyongyang bertindak sebagai penampan di antara Beijing dan Washington sejak Perang Korea pada zaman 1950-an dan “menyumbang kepada usaha melindungi keamanan dan keselamatan China”, katanya dan me-nambah sekutunya itu harus “berterima kasih kepada DPRK bagi perkara itu”.

Beijing tidak harus mencuba batas kesabaran Korea Utara, katanya, dan memberi amaran: “China lebih baik memikirkan tentang akibat serius yang boleh berlaku disebabkan oleh tindakannya yang tidak peduli dengan menebang tiang hubungan DPRK-China.” — AFP

Advertisement