Anda di sini

Mayat pendaki legenda Swiss dibakar dekat Gunung Everest

Advertisement

TENGBOCHE: Mayat pendaki legenda Swiss, Ueli Steck, yang maut di Gunung Everest, dibakar semalam di sebuah biara Buddha yang terletak dalam bayang-bayang gunung tertinggi di dunia itu.

Steck – salah seorang pendaki gunung paling diraikan bagi generasinya – menjadi orang pertama yang mati pada musim pendakian musim bunga tahun ini di Everest apabila dia terjatuh dari sebuah rabung sewaktu menjalani latihan menyesuaikan diri dengan iklim pada Ahad lepas.

Mayat pendaki itu diterbangkan dengan helikopter semalam ke Biara Tengboche yang terletak pada laluan ke puncak yang meragut nyawa-nya.

Isteri Steck, Nicole, dan ahli keluarga terdekat tiba bersama mayat itu dari Kathmandu untuk upacara pengebumian Buddha, menurut seorang jurugambar AFP di tempat kejadian. Mereka terbang ke Nepal pada awal minggu ini.

Mayat Steck dibawa dari helipad ke tempat pembakaran beberapa ratus meter dari biara, di mana keluarganya disertai sami yang memakai jubah merah tua yang memanjatkan doa dan bermain muzik.

Beberapa pendaki turun dari kem pangkalan Everest untuk menghadiri pembakaran mayat pendaki gunung terkenal itu, menurut Nimesh Karki dari Seven Summits, sebuah syarikat treking yang membantu Steck mengatur usahanya mendaki Everest.

Steck cuba mencapai satu lagi kejayaan pertama pada tahun ini dengan melakar satu laluan yang jarang sekali didaki ke puncak Everest dan juga Lhotse, gunung keempat tertinggi di dunia, semuanya tanpa menggunakan oksigen tambahan.

Steck sepatutnya naik ke puncak Everest menerusi West Ridge – satu laluan yang merekodkan lebih banyak kematian daripada pendakian – sebelum dia mendaki Lhotse.

Pendaki gunung yang cekap itu sedang menjalani latihan menyesuaikan diri dengan iklim ke Gunung Nuptse, yang berkongsi rabung sama dengan Everest, apabila dia tergelincir dan terjatuh lebih 1,000 meter pada awal pagi Ahad lepas. — AFP

Advertisement