Anda di sini

Konsert Destini 2017 di Dewan CATS FM, Kuching esok

Advertisement
__alt__

SEBUAH konsert berjudul Konsert Destini 2017 anjuran Didi Western yang menampilkan lima penyanyi popular iaitu Haqiem Rusli, Khai Bahar, Ezad Lazim, Amir Ukays dan Zamani Slam dijadual akan berlangsung esok (6 Mei), jam 8.15 malam bertempat di Dewan CATS FM, Kuching.

Haqiem Rusli atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli merupakan seorang artis cilik yang mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian. Dia mempunyai kelebihan yang besar dan boleh menyanyikan pelbagai lagu termasuk lagu lama.

Bakat Haqiem mula menonjol apabila dia berusia 5 tahun. Tetapi bakatnya mula diperkenalkan pada tahun 2009 apabila dia berjaya memasuki sebuah rancangan realiti TV dan telah mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut.

Pada tahun 2016, Haqiem Rusli melancarkan sebuah single yang berjudul ‘Segalanya’. Single edaran FMC Music ini dicipta oleh Gouffran, Ibnu dan Danny, sedangkan liriknya ditulis oleh Gouffran.

Sementara itu, nama Khai Bahar juga tidak asing lagi di kalangan peminat. Malah mula menjadi bualan hangat di media sosial disebabkan aplikasi Smule karaoke duet bersama penyanyi, Siti Nurdiana menerusi lagu ‘Memori Berkasih’.

Lepas tu dia sekali lagi berduet dengan Siti Nurdiana menerusi lagu ‘Resepi Berkasih’. Khai atau nama sebenarnya Mohd Khairul Baharuddin, 23, berasal dari Perak.

Bintang Smule ini kini bernaung di bawah syarikat rakaman NAR Records dengan single terbaru bertajuk ‘Bayang’. Lagu dan lirik single terbaru Khai Bahar ini dihasilkan oleh Eddy Khalifah.

Ezad Lazim atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim merupakan bekas vokalis kumpulan Exists selepas keluarnya Mamat pada tahun 1994. Album solo Ezad yang pertama adalah ‘Mengharap Bintang’ yang diterbitkan tahun 2011.

Kini muncul dengan single baharu yang berkait rapat dengan kisah hidupnya, lagu ‘Demi Cinta’ dihasilkan oleh Mohd Yasin dan Ezad Lazim sendiri manakala lirik dihasilkan oleh Iman Imran.

Azmi Hassan atau lebih dikenali sebagai Amir Ukays merupakan seorang pengarah muzik filem, penerbit, komposer, deejay, pengacara, penyanyi dan gitaris. Amir Ukays berasal dari Batu Pahat, Johor.

Beliau merupakan vokalis kumpulan Ukays dan masih bergiat aktif dalam bidang seni. Popularitinya kembali memuncak setelah menyertai program Gegar Vaganza musim kedua. Gegar Vaganza adalah platform terbaik untuknya kembali aktif dan bersedia dengan cabaran dalam program itu.

Zamani Ibrahim ialah seorang penyanyi lelaki popular  mula mencipta nama menerusi kumpulan pop terkenal 1990-an, Slam yang dianggotainya dari 1994 hingga 1999.

Beliau yang kemudiannya melancarkan karier muzik secara solo pada tahun 2002 kini bergelar antara penyanyi pop lelaki popular di Malaysia dan Indonesia.

Zamani begitu popular dengan lagu ‘Gerimis Mengundang’ ketika masih bersama Slam. Setelah muncul solo, Zamani muncul dengan beberapa single seperti ‘Isabella 98’, duet bersama Dato Jamal Abdillah, Amy dan Saleem.

Disusuli dengan single ‘Syair Si Pari-Pari’ (2002), ‘Kala Hujan’ (2004), ‘Tak Keruan’ (duet Sharifah Zarina – 2010), ‘Cahaya Asmara’ (2015) dan yang terkini ‘Tambatan Hati’ (2016).

Tiket-tiket untuk menyaksikan kelima-lima artis ini membuat persembahan yang berharga RM230 (VVIP) makan malam, RM160 (VIP) makan malam dan RM80 duduk tempat biasa boleh didapati dengan menghubungi 012-6025755.

Advertisement