Anda di sini

Jangan pilih pelabur: Sultan Johor

Advertisement

Pastikan visi jadikan Johor pusat ekonomi utama di rantau ini tercapai

 Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan menerima watikah titah ucapan daripada Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada perasmian pembukaan penggal persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
TERIMA WATIKAH: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan menerima watikah titah ucapan daripada Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada perasmian pembukaan penggal persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri dinasihatkan agar tidak memilih pelabur yang hendak datang ke Johor demi memastikan visinya untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat ekonomi utama di rantau ini, tercapai.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, dari mana sekali pun pelabur terbabit, semuanya mesti dilayan sebaik-baiknya.

Namun, pada masa sama, baginda mahu kerajaan negeri menggalakkan pelaburan yang bersifat jangka panjang, mempunyai nilai tambah tinggi serta mesra alam.

Industri yang melibatkan bahan kimia beracun atau yang mudah meletup, hendaklah diteliti dengan betul dan jika hendak diterima, pastikan ia diletakkan di kawasan yang jauh dari kawasan perumahan,” titah baginda sempena pembukaan penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim semalam.

Titah ucapan baginda dilafazkan oleh anakandanya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai wakil rasmi baginda.

Sultan Ibrahim menegaskan satu contoh kesilapan yang pernah dibuat kerajaan negeri dahulu berhubung perkara terbabit ialah dengan membenarkan pembinaan sebuah kilang memproses kimia di Pasir Gudang.

Pada asalnya, Singapura telah menolak cadangan pembinaan kilang ini di sana tetapi kerajaan Johor pada ketika itu telah bersetuju menerima pembinaan kilang tersebut di Pasir Gudang.

Kesannya sekarang, rakyat Johor di Pasir Gudang terpaksa menanggung risiko yang tinggi,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menambah bagi menarik lebih banyak pelabur ke sesuatu kawasan, kerajaan negeri juga seharusnya menyediakan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Ibrahim meminta kerajaan negeri agar melaksanakan pembangunan yang seimbang dalam memastikan kemajuan ekonomi negeri terus kukuh, iaitu dengan mewujudkan dasar yang konsisten.

Baginda bertitah, dasar yang konsisten akan memberikan keyakinan kepada pelabur jangka panjang manakala dasar yang tidak konsisten pula hanya akan menakutkan pelabur dan merugikan kerajaan.

Berkenaan isu lain, baginda menggesa kerajaan negeri supaya mencari jalan untuk menambah hasil, iaitu dengan mencari sumber pendapatan baharu.

Baginda juga berharap kerajaan negeri tidak lalai dan bersikap boros dengan lebihan hasil berjumlah RM119 juta yang dicatat pada tahun lalu. — Bernama

Advertisement