Anda di sini

IRDA mahu tumpu bangun prasarana di Iskandar Malaysia

Advertisement

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) menumpukan kepada pembangunan prasarana di Iskandar Malaysia, Johor, kerana ia merupakan kunci bagi menarik lebih banyak pelaburan dan meraih manfaat ekonomi dalam tempoh jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismail Ibrahim berkata Iskandar Malaysia adalah wilayah yang boleh membantu Malaysia merealisasikan visinya mencapai status negara maju menjelang 2035.

Pembangunan prasarana merupakan usaha serampang dua mata. Pertama, ia melibatkan pembangunan lapangan terbang, pelabuhan dan jalan bagi memudahkan hubungan dengan dunia.

Keduanya, terdapat ‘prasarana insaniah’ seperti telekomunikasi, tenaga, air dan malahan pendidikan bagi masyarakat. Sememangnya pendidikan akan membuka peluang bagi rakyat dan menjadikan mereka dapat bersaing dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan,” katanya kepada Bernama.

Bajet prasarana bagi IRDA sepanjang dekad yang lalu - ia dilancarkan pada 2006 - diperuntukkan terutamanya bagi ‘projek pemangkin’, yang berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi.

Ismail berkata kira-kira RM10 bilion diperuntukkan bagi pembinaan antara lainnya lebuh raya pinggir pantai, pembersihan sungai dan pembangunan pelabuhan.

Kerajaan menyediakan dana kerana kami dapat melaksanakannya. Sepanjang dekad lepas, kami juga dapat menarik pelaburan daripada sektor swasta.

Bagi setiap ringgit yang diterima daripada kerajaan, sektor swasta memadankannya dengan RM20. Justeru itu, terdapat pelaburan dalam pembuatan, perkhidmatan , hartanah dan prasarana.

Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi. Daripada jumlah pelaburan RM220 bilion sektor swasta, 60 peratus disumbang syarikat Malaysia dan 40 peratus entiti luar negara,” katanya.

China, menurut Ismail, merupakan pelabur terbesar di wilayah Iskandar berjumlah RM21 bilion, diikuti Singapura (RM19 bilion dan Amerika Syarikat (RM7 bilion).

Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, yang kedekatannya dengan Singapura menjadikannya penting dari segi strategik bagi perkhidmatan perantara dan terutamanya bagi syarikat penerbangan tambang rendah, merupakan hab penting bagi segmen penumpang dan juga kargo.

Pada 2016, ia mengendali sejumlah 2,828,074 penumpang dan 6,245 tan metrik fret dengan kombinasi 42,744 pergerakan pesawat komersial berjadual dan tidak berjadual.

Pusat kargo Senai memiliki kawasan binaan seluas 3,600 meter persegi dan berupaya mengendalikan sehingga 100,000 tan metrik kargo setahun.

Operasi gudang telah berkembang. Senai terletak strategik di Asia Tenggara dan kedekatannya dengan Singapura menjadikan ia malahan lebih menarik bagi pemain sektor logistik dan lain-lain. Perbincangan juga diadakan dengan pemain dalam sektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih penerbangan (MRO).

Kami telah berbincang dengan antara lainnya, Rolls-Royce dan Airbus. Sebuah syarikat usaha sama Singapura membina dua hangar di Senai dan sebuah syarikat lain membawakan jet peribadi untuk menggunakan kemudahan MRO,” kata Ismail.

Beliau berkata logistik juga diberi keutamaan tinggi di Wilayah Iskandar.

Kami juga menjalankan 3PL (logistik pihak ketiga). Kami memiliki prasarana,” katanya.

Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Langsat yang digunakan oleh wilayah Iskandar boleh membantu dalam aktiviti hiliran, termasuk pemprosesan, penyimpanan dan pengedaran makanan. — Bernama

Advertisement