Anda di sini

Rasuah: Bekas pengerusi dan setiausaha jawatankuasa masjid direman empat hari

Advertisement
 Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa dua suspek untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Melaka, semalam. — Gambar Bernama
REMAN: Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa dua suspek untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Melaka, semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Bekas pengerusi dan bekas setiausaha jawatankuasa sebuah masjid di sini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah dalam proses penjualan tanah wakaf masjid berkenaan.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka Mohd Anuar Ostadi membenarkan kedua-dua suspek direman selepas mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Kedua-dua lelaki berkenaan yang berpakaian kemeja-T hitam dan seorang lagi kemeja merah dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh di sini kira-kira jam 10.40 pagi semalam untuk permohonan reman itu.

Akhbar semalam melaporkan suspek berusia 61 dan 46 tahun itu dipercayai menerima wang sogokan bernilai RM116,000 bagi melancarkan proses jual beli tanah wakaf milik masjid itu di Kampung Bukit Cina, di sini.

Mereka ditahan kira-kira jam 7 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Melaka di sini.

Dua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah daripada seorang lelaki bukan Islam dalam  proses jual tanah wakaf itu pada 2012. — Bernama

Advertisement