Anda di sini

Pemain industri digesa tingkat kesedaran tentang Industri 4.0

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemain industri perlu menyedari yang revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0) telah pun berlaku di sini dan mereka perlu meningkatkan kesedaran untuk mengekalkan perniagaan mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pemain industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengubah cara mereka menjalankan perniagaan atau bakal berisiko ketinggalan di belakang.

Telah ada banyak inovasi digital baharu yang mencabar perniagaan tradisional seperti Uber dan Airbnb.

Kita memerlukan lebih banyak inovasi dalam ruang perniagaan-kepada-perniagaan dan kita tidak lagi boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat; sudah tiba masanya kita melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Ong berkata, kementerian itu faham bahawa Industri 4.0 adalah satu tugas yang sukar bagi PKS, yang mana mereka tidak pasti di mana untuk bermula.

Ia juga merupakan sesuatu yang tidak boleh dilakukan secara berasingan, katanya, sambil menambah kerjasama yang berjaya merupakan kunci dalam memastikan usaha Malaysia bagi Industri 4.0 dilaksanakan.

Kementerian itu akan menganjurkan lebih banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan pada masa depan di samping merancang program terutamanya bagi penjawat awam dan PKS.

Ong berkata peranan kerajaan ketika ini menjurus kepada meningkatkan kesedaran tentang manfaat Industri 4.0, menyediakan sokongan kewangan yang disasarkan terutamanya bagi PKS dan membentuk rangkaian kerjasama rapat untuk menggerakkan agenda ini.

Malaysia, katanya, tidak jauh ketinggalan daripada penggerak pertama dalam aspek ini kerana beberapa inisiatif ke arah Industri 4.0 telahpun dimasukkan ke dalam, antara lainnya, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Pelan Hala Tuju Internet of Things (IoT) Kebangsaan, Pelan Tindakan Aeroangkasa dan Zon Perdagangan Bebas Digital pertama dunia, yang bakal membentuk 2017 sebagai tahun Ekonomi Internet bagi Malaysia.

Hari ini, MITI mengadakan Bengkel Kerja Industri 4.0: Memahami Masa Depan Pembuatan, yang bertujuan menguar-uarkan tentang di mana kedudukan Malaysia ketika ini dalam skim Industri 4.0. — Bernama

Advertisement