Anda di sini

Pegawai polis akui bunuh sembarangan

Advertisement

Hukuman maksimum penjara seumur hidup menunggu dalam kes di South Carolina

 Kombinasi gambar menunjukkan Slager dieskot keluar dari mahkamah pada 5 Disember tahun lepas dan ibu bapa Scott, Walter Scott Sr. dan Judy, kelihatan ceria selepas perbicaraan di Charleston, kelmarin. — Gambar Reuters
BERSALAH: Kombinasi gambar menunjukkan Slager dieskot keluar dari mahkamah pada 5 Disember tahun lepas dan ibu bapa Scott, Walter Scott Sr. dan Judy, kelihatan ceria selepas perbicaraan di Charleston, kelmarin. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Seorang anggota polis South Carolina yang dirakamkan menembak seorang lelaki kulit hitam tanpa senjata dari belakang selepas menahan kereta mangsa, mengaku bersalah kelmarin atas tuduhan melakukan pembunuhan yang menyalahi undang-undang ketika menjalankan tugas rasmi, kesalahan yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Jabatan Kehakiman berkata, bekas pegawai polis North Charleston, South Carolina, Michael Slager, 35, bersetuju atas satu tuduhan persekutuan itu lima bulan selepas juri gagal mensabitkannya atas tuduhan membunuh dalam kes tersebut.

Pengakuan Slager akan menyelesaikan kedua-dua kes persekutuan dan negeri terhadapnya berhubung kejadian dua tahun lalu yang berlaku ketika beberapa kejadian polis menembak lelaki kulit hitam yang mencetuskan kemarahan dan bantahan yang meluas.

Disember lalu, seorang anggota juri dalam kes negeri menghalang pensabitan bagi tuduhan membunuh, yang memaksa hakim untuk mengisytiharkan perbicaraan silap dan merancang perbicaraan baharu.

Jabatan Kehakiman akan mempertanggungjawab mana-mana pegawai penguatkuasaan undang-undang yang melanggar hak sivil warga kita dengan menggunakan kekerasan yang keterlaluan,” kata Peguam Negara Jeff Sessions.

Kegagalan menjalankan tugas sedemikian bukan sahaja memudaratkan mangsa jenayah ini’ ia memudaratkan negara kita, menghakis kepercayaan kepada penguatkuasaan undang-undang dan merosakkan kerja baik majoriti anggota polis yang bermaruah dan jujur.”

Pegawai kulit putih itu menahan Walter Scott kerana lampu brek keretanya rosak di North Charleston pada 4 April, 2015.

Scott, 51, keluar dari keretanya dan cuba lari.

Slager mengejarnya dan menembaknya dengan Taser untuk menjatuhkannya.

Apabila Scott bangun dan cuba melarikan diri sekali lagi, Slager menembaknya lima kali dari belakang, menyebabkan kematiannya.

Slager mendakwa Scott cuba membunuhnya dengan Taser berkenaan.

Satu rakaman video telefon bimbit insiden itu yang dibuat oleh seorang pemerhati menunjukkan Slager tidak menghadapi sebarang bahaya dan tiada sebab untuk menembak Scott ketika dia hendak melarikan diri.

Defendan menggunakan kekerasan yang membawa padah walaupun ia secara objektif tidak munasabah di bawah keadaan itu,” kata perjanjian pengakuan berkenaan.

Hukuman dalam kes itu akan diumumkan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Tuduhan tidak menegakkan hak sivil seseorang membawa hukuman penjara seumur hidup, dan denda yang berpotensi mencapai AS$250,000 (RM1.13 juta).

Kami berharap tindakan Michael menerima tanggung-jawab dapat membantu keluarga Scott tatkala mereka terus meratapi kehilangan mereka,” menurut peguam Slager, Andy Savage.

Sementara itu, polis di Dallas, Texas, memecat seorang anggota polis yang menembak seorang remaja kulit hitam berusia 15 tahun, Jordan Edwards, di kepala di luar satu parti pada hujung minggu lepas, menurut akhbar The New York Times.

Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan Jabatan Kehakiman AS memutuskan untuk tidak mendakwa anggota polis Louisiana dalam kes kematian Alton Sterling, 37, yang ditembak mati di Baton Rouge tahun lepas.

Lelaki kulit hitam itu dibunuh polis ketika menjual cakera padat (CD) di luar sebuah kedai runcit.

Kumpulan keadilan kaum Color of Change mengecam tindakan itu dan menyifatkan Jabatan Kehakiman percaya nyawa orang kulit hitam tidak penting.

Visi distopik ini sepatutnya sudah menjadi sejarah silam di Amerika, tetapi terima kasih kepada pentadbiran ketuanan kulit putih Donald Trump dan kroni rasisnya seperti Jeff Sessions dan Steve Banno, ia telah menjadi sejarah sekarang,” pengarah eksekutif Color of Change, Rashad Robinson, dalam satu kenyataan.

Amnesty International USA berkata, kes itu mencerminkan keperluan untuk menyemak semula undang-undang di seluruh negara yang memperuntukkan bila dan bagaimana polis harus menggunakan kekerasan yang boleh menyebabkan kematian. — AFP

Advertisement