Anda di sini

Lelaki didenda atau penjara atas kesalahan menceroboh

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,800 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan melakukan pencerobohan jenayah.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Christensen Inging, 27, dari Taman Permy, Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah kepunyaan Julian Chieng Sui Nguong.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6 petang, 21 April lalu di sebuah rumah di Taman MDL di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya dan pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement