Anda di sini

Kerajaan tawar tender syarikat aset HSR KL-Singapura menjelang akhir 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menawarkan tender penubuhan sebuah syarikat aset yang dibiayai oleh swasta (AssetsCo) untuk Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura menjelang akhir tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.

 Ini merupakan tender pertama yang ditawarkan untuk projek HSR berkenaan.

 AssetsCo akan bertanggungjawab untuk tugas-tugas termasuk mereka bentuk, membina, membiayai, mengoperasi dan menyelenggara aset rel seperti kerja-kerja landasan, tenaga, pengisyaratan dan telekomunikasi.

 “Kami dalam proses beralih daripada fasa pembangunan kepada pelaksanaan termasuk melantik tenaga jurureka rujukan sivil dan penasihat perunding bagi lokasi sistem (sistem rel) secara bersama dengan Singapura.

 “Selain itu, kami juga berusaha keras ke arah peringkat pemerolehan yang menandakan bermulanya fasa pembinaan dan bagi AssetsCo yang kami jadualkan menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita di luar program Simposium HSR Ketiga di Malaysia, di sini semalam.

 Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun Keiichi Ishii.

 Mohd Nur Ismal berkata MyHSR juga kini dalam proses penilaian aspek pembinaan sivil projek itu dan akan mencadangkan kaedah terbaik untuk pengurusan skop kerja terbabit kepada kerajaan.

 Menurutnya, sejurus penawaran tender untuk AssetsCo, keputusan mengenai rakan pelaksana projek itu akan diumumkan pada suku pertama tahun depan.

 Mengulas pertanyaan mengenai pembiayaan infrastuktur sivil projek itu, beliau berkata syarikat itu juga dalam peringkat mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik untuk mendapatkan dana itu menerusi (pelaksanaan) sukuk.

 “Biarlah kerajaan yang memutuskannya (cara pembiayaan projek HSR),”’’ katanya.

 Mohd Nur Ismal berkata, bagi projek insfrastruktur di Eropah misalnya, sebahagian besar perbelanjaan modal (capex) itu disediakan oleh kerajaan.

 “Syarikat rel hanya menumpukan aspek kos operasi dan tidak membuat sebarang pembayaran untuk capex berkenaan. Mereka akan menyumbang, tetapi bukannya menanggung capex itu sepenuhnya.

 “Struktur pembiayaan sedemikian akan menjadikan aspek kebolehlaksanaan yang lebih singkat dan lancar,” katanya. — Bernama

Advertisement