Anda di sini

Kena maksimum

Advertisement

Ulin Blukok mengaku salah cuba bunuh lelaki lain dalam tragedi Kampung Tumu dipenjara 20 tahun.

 Ulin diiringi polis keluar dari kamar Mahkamah Sesyen, semalam.
KE TIRAI BESI: Ulin diiringi polis keluar dari kamar Mahkamah Sesyen, semalam.

 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 42 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba membunuh seorang lelaki di Matang, tiga bulan lalu.

Hakim Timothy Finlayson Joel menjatuhkan hukuman maksimum bagi pertuduhan di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan ke atas tertuduh, Ulin Blukok, yang berasal dari Rumah Kelachie, Kampung Munggu Sabun di Simunjan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata, hukuman berat perlu diberikan bagi mencerminkan keseriusan kesalahan tersebut.

Meskipun terselamat dalam tragedi itu, katanya, mangsa mengalami kecederaan serius dan pada masa sama, kehilangan ahli-ahli keluarganya iaitu ibu bapa serta menantu lelakinya.

Oleh itu, hukuman mesti mencerminkan kepentingan orang awam dan keselamatan masyarakat perlu dilindungi serta tidak ada sesiapa pun boleh mengambil tindakan dengan membelakangi undang-undang. Tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.

Walaupun tertuduh mengaku bersalah, saya tidak fikir akan ada pengurangan hukuman akan diberikan kepadanya kerana kesalahan itu adalah serius,” katanya.

Tertuduh tidak membuat sebarang mitigasi ketika ditanya sebelum hukuman dijatuhkan.

Malah, dia turut tersenyum setelah mengetahui keputusan tersebut apabila berjalan keluar dari kandang tertuduh.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Yong Ann Nee menyeru mahkamah untuk menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana dia bukan sahaja melakukan perbuatan itu, tetapi turut menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dengan menetaknya menggunakan parang di kepala dan tangan kanan.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu terhadap Hassan Abdullah, 36, pada 22 Januari tahun ini sekitar 3.30 petang di Kampung Tumu, Batu 10, Jalam Matang, di sini.

Ulin turut berhadapan tiga lagi tuduhan membunuh yang menunggu perbicaraan selepas didakwa menyebabkan kematian Daud Abdullah, 64, Noraini Abdullah, 62 dan Mohd Joe Abdullah, 25.

Dalam insiden itu, Ulin turut dipercayai membakar kediaman keluarga tersebut sehingga menyebabkan mangsa-mangsa rentung.

Membunuh, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement