Anda di sini

IS serang kem pelarian Syria

Advertisement

Puluhan maut, Trump dan Putin kini ikhtiar akhiri perang

 Kombinasi gambar fail masing-masing pada 23 dan 28 Disember tahun lepas menunjukkan Putin di Moscow dan Trump di Palm Beach, Florida. — Gambar AFP
BERPAKAT: Kombinasi gambar fail masing-masing pada 23 dan 28 Disember tahun lepas menunjukkan Putin di Moscow dan Trump di Palm Beach, Florida. — Gambar AFP

BEIRUT: Satu serangan pelampau yang diketuai pengebom nekad mengorbankan puluhan orang kelmarin di sebuah kem pelarian berhampiran sempadan Syria dengan Iraq, tatkala Washington dan Moscow berusaha menepis retorik untuk mencari jalan menamatkan perang di Syria.

Keganasan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 46 orang dan berlaku ketika satu lagi serangan mengejut IS kelmarin mengorbankan 10 askar di Iraq, ke selatan di sepanjang sempadan.

Sementara bilangan kematian meningkat, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rakan sejawatannya di Russia, Vladimir Putin, membincangkan langkah untuk meredakan perang saudara di Syria, yang telah melagakan Moscow dan Washington di antara dua kem yang bermusuhan.

Penasihat Trump berkata perbualan telefon mereka termasuk “perbincangan mengenai zon selamat, atau pengurangan peperangan” di Syria “untuk mencapai keamanan yang berkekalan bagi sebab kemanusiaan dan banyak sebab lain”.

Tiada maklumat diberikan mengenai zon selamat yang dimaksudkan, yang sudah lama dibincangkan tetapi tersandung apabila konflik berlarutan.

IS dipercayai sedang bertindak balas selepas ia berdepan dengan operasi yang semakin meningkat ke atas dua kubu kuat utamanya yang terakhir: kota kedua Mosul di Iraq dan Raqa di negara jiran Syria.

Serangan subuhnya di timur laut Syria terkena sebuah kem sementara berhampiran sempadan dengan Iraq di mana kira-kira 300 keluarga menunggu untuk memasuki wilayah yang dikuasai Tentera Demokratik Syria (SDF), pakatan yang disokong oleh AS dan mengetuai serangan ke atas Raqa.

Observatori Hak Asasi Manusia Syria berkata sekurang-kurangnya lima pengebom nekad meletupkan diri di dalam dan di luar kem dalam wilayah Hasakeh.

Pertempuran sengit menyusul di antara puak pelampau dengan SDF, kata ketua Observatori, Rami Abdel Rahman, kepada AFP.

Kumpulan pemantau itu berkata sekurang-kurangnya 46 orang terkorban, termasuk 21 orang awam.

IS mengaku melancarkan serangan itu menerusi wadah propagandanya Amaq, dan berkata sekumpulan pelampau menyerang satu kedudukan SDF berhampiran kem sebagai sebahagian daripada serangan pelbagai hala ke atas kumpulan tersebut.

Kamal Derbas, seorang pegawai media bagi Persatuan Bulan Sabit Merah Kurdis, berkata serangan itu bermula pada jam 4.00 pagi.

Serangan IS di Iraq menyaksikan puak pelampau menembak sebuah pangkalan tentera berhampiran pangkalan luar terpencil Rutba, berdekatan sempadan barat negara dengan Syria dan Jordan. — AFP

Advertisement