Anda di sini

Warga asing dihadap ke mahkamah atas tuduhan masuk secara haram

Advertisement

MIRI: Seorang buruh warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan masuk ke negeri ini secara haram.

Yasin Fianus Markus, 25, dari Karote, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh bukan sebagai seorang warga negara Malaysia didapati telah masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 17 April lalu di simpang pekan Lapok, Marudi.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan lanjut kes, manakala tertuduh yang tidak ditawarkan jaminan diperintah supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafizah Yatim.

Advertisement