Anda di sini

Prestasi ekonomi Malaysia kekal baik

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia terbukti mencatat prestasi ekonomi yang baik sejak beberapa tahun lepas dan kekal berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran ekonomi global mencabar, demikian menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kenyataan itu dibuat IMF menerusi laporan perundingan tahunan mengenai Malaysia yang dimuktamadkan pada 15 Mac lepas.

Menurutnya, walaupun berdepan impak persekitaran impak kelemahan harga komoditi dan kewangan global, ekonomi Malaysia sebaliknya kekal berdaya tahan berikutan kepelbagaian asas pengeluaran dan eksport, memiliki kedudukan imbangan kira-kira yang kukuh, kadar tukaran asing yang fleksibel, dasar ekonomi makronya pula bersifat responsif serta pasaran kewangan yang mendalam.

“Malaysia masih menjadi antara ekonomi yang mencatat pertumbuhan paling pesat dalam kalangan rakan negara lain walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar lebih perlahan.

“Persekitaran ekonomi makro dan kewangan global yang mencabar itu memerlukan penekanan terhadap (pelaksanaan) usaha yang wajar dan pelarasan dasar secara berhati-hati bagi kemajuan masa depan,” katanya.

Menurut IMF, paras hutang Persekutuan dan liabiliti luar jangka secara relatifnya tinggi yang mengehadkan ruang dasar bagi tujuan memberi respon terhadap kejutan.

Katanya, risiko terhadap unjuran itu juga lebih cenderung ke arah penurunan yang dibuat berdasarkan sumber luaran mahupun domestik.

Risiko luaran termasuk kelemahan pertumbuhan struktur dalam ekonomi maju dan sedang pesat membangun dan impak daripada penyepaduan rentas sempadan.

IMF berkaa, walaupun ekonomi Malaysia terbukti dapat seiring dengan penyusutan harga minyak global, namun harga komoditi yang rendah kekal menjadi cabaran untuk mencapai sasaran fiskal jangka pertengahan.

Malah, tekanan kewangan global yang ketara serta pengaliran keluar modal juga boleh menjejaskan ekonomi Malaysia, kata IMF.

Risiko domestik pula berkait rapat dengan hutang sektor awam dan isi rumah selain lompong kelemahan dalam sektor swasta.

“Biarpun nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK berkemungkinan susut, namun hutang isi rumah itu kekal tinggi dengan pertumbuhan pembayaran hutang itu yang sederhana,” kata dana antarabangsa itu.

Menurut IMF, kadar pertumbuhan KDNK sebenar juga diunjur meningkat secara sederhana kepada 4.5 peratus bagi tahun ke tahun pada 2017 berbanding 4.2 peratus pada 2016 yang menyaksikan permintaan domestik terutamanya perbelanjaan swasta terus kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan.

“Ekonomi Malaysia dijangka terus tumbuh pada 2017 namun ekonomi domestiknya akan diasak tekanan menerusi faktor seperti kelemahan ekonomi maju dan pesat membangun atau impak penyepaduan rentas sempadan di peringkat global,” kata IMF.

Sehubungan itu, IMF menggesa lebih banyak langkah lebih berhati-hati dilaksanakan secara berterusan untuk mengukuhkan dasar penampan selain merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

IMF juga mengunjurkan peningkatan inflasi harga pengguna dan pada purata 2.7 peratus bagi tahun ke tahun pada 2017, didorong oleh harga minyak global yang tinggi serta langkah rasionalisasi harga minyak masak.

Mengulas selanjutnya, IMF berkata lebihan akaun semasa secara amnya tidak akan berubah berikutan impak daripada pemulihan unjuran global dan kenaikan harga komoditi akan ditampung oleh pengukuhan import akibat permintaan domestik yang ketara.

Dana kewangan antarabangsa itu juga bersetuju bahawa dasar fisikal jangka pertengahan ditetapkan kerajaan adalah kukuh bersandarkan usaha mencapai belanjawan Persekutuan yang lebih seimbang menjelang 2020.

Malah, katanya, perancangan sedemikian akan membantu untuk membendung sebarang risiko yang boleh meningkatkan paras hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka serta jika perlu, dapat membina ruang fiskal bagi pengembangan dasar masa depan.

Lembaga IMF turut menyifatkan pendirian dasar monetari sedia ada Malaysia adalah wajar dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu terus melaraskan dasar terbabit untuk menyokong pertumbuhan masa depan.

Namun, pada masa sama, pihak terbabit perlu peka terhadap perubahan kewangan yang boleh menjejaskan dasar monetari berkenaan.

Menurut laporan itu, biarpun sektor perbankan secara keseluruhannya baik dan risikonya dapat dikekang, namun pemantauan terhadap faktor kelemahannya perlu dilakukan.

Selain itu, IMF turut menyambut baik komitmen pihak berwajib untuk mengekalkan kadar tukaran sebagai mekanisme kejutan dan menyarankan rizab terus dikumpul ketika wujudnya peluang untuk berbuat demikian serta dimanfaatkan dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

Ia juga menyokong usaha Malaysia bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, mempertingkat kualiti pendidikan, mengurangkan masalah ketidakpadanan kemahiran serta meningkatkan tahap tadbir urus yang tinggi.  — Bernama

Advertisement