Anda di sini

Felcy Miss Grand Sabah yang pertama

Advertisement
 Felcy (kiri) dan Sanjeda (kanan) diumumkan sebagai Miss Grand Sabah dan Miss Intercontinental 2017.
WAKIL SABAH: Felcy (kiri) dan Sanjeda (kanan) diumumkan sebagai Miss Grand Sabah dan Miss Intercontinental 2017.

KOTA KINABALU: Tampil yakin dan kekal positif di atas pentas akhir Miss Grand Sabah 2017 membolehkan Felcy Fransie Julian, 20, menarik perhatian juri untuk memilihnya sebagai Miss Grand Sabah yang pertama.

Pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah ini menjadi platform terbaik untuk anak muda yang bertugas sebagai deejay ini untuk memperkembangkan bakatnya dalam pertandingan ratu cantik.

Bekas naib juara Miss Sabah Earth 2015 ini menjadikan pentas Miss Grand Sabah untuk melangkah setapak ke hadapan dalam bidang ratu cantik.

Beliau akan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada Ogos ini dan jika rezeki berpihak kepadanya, beliau mungkin akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Miss Grand International yang akan diadakan di Vietnam pada Oktober.

Biarpun tidak meletak harapan yang tinggi di peringkat kebangsaan nanti, Felcy akan berusaha mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan.

“Saya akan berlatih ‘catwalk’ bersama pengurus saya. Selain itu, saya juga akan membuat persiapan bagi menyediakan baju yang bersesuaian. Pada masa sama, saya akan terlibat dalam aktiviti amal yang dijalankan oleh penganjur Miss Grand Sabah,” katanya ketika ditemui selepas dimahkotakan sebagai Miss Grand Sabah 2017 di Kota Kinabalu pada malam Sabtu.

Semasa sesi soal jawab pada peringkat Top 7, ditanya tentang apa yang beliau ingin ubah di dunia ini jika diberi peluang, Felcy dengan yakin menyatakan bahawa disebabkan banyak permasalahan yang berlaku di dunia akibat tindakan manusia, maka pendidikan harus ditekankan supaya generasi akan datang tahu bagaimana untuk melindungi dunia.

Kemenangan itu membolehkan Felcy membawa pulang hadiah yang merangkumi mahkota, selempang, wang tunai, sejambak bunga, baucar penginapan Sutera Harbour, baucar Skin Life, tiket penerbangan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur serta hamper.

Turut berkongsi kegembiraan yang sama ialah rakan karib Felcy iaitu Sanjeda John, 25, yang meraih tempat kedua dan menerima gelaran Miss Intercontinental Sabah 2017.

Felcy dan Sanjeda sama-sama menyertai Miss Earth Sabah 2015 dan kini mereka bertemu sekali lagi di pentas Miss Grand Sabah 2017. Semasa menyertai Miss Earth Sabah, Sanjeda meraih tempat ketiga dan dinobatkan sebagai Miss Sabah Earth (Water).

Selain menerima gelaran Miss Intercontinental, Sanjeda turut menerima dua gelaran sampingan iaitu Miss Body Beautiful dan Miss Popular (audience choice). Di samping itu, pakaian yang dipakai olehnya turut diumumkan sebagai ‘Best Evening Gown’ hasil rekaan Jamier Ramos Monteron.

Berkenaan rahsia kejayaan, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia kejayaan namun, apa yang penting ialah kerja keras, yakin dan menjadi diri sendiri.

Ketika ditanya tentang saranan kepada wanita yang ingin menyertai pertandingan sebegitu, Sanjeda berkata jika ingin menyertai pertandingan itu, lakukan sahaja supaya tidak menyesal pada  kemudian hari. Namun, apabila sudah menyertainya, ia perlu dilakukan dengan sehabis baik.

Mengenai perancangan di peringkat kebangsaan, beliau berkata memandangkan mereka berdua akan mewakili Sabah, beliau yakin mereka akan buat yang terbaik dan mengharumkan nama Sabah.

“Kami akan menyertai aktiviti yang dapat membantu menghentikan keganasan sesuai dengan tema Miss Grand Sabah ‘Stop The Violence’. Kami akan menyertai aktiviti amal yang sudah disusun serta meningkatkan pengetahuan tentang isu-isu keganasan yang berlaku di dunia,” jelasnya.

Sanjeda bakal melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Sains Bioperubatan di Universiti MAHSA.

Ditanya adakah soalan berkaitan pengganas yang dikemukakan kepadanya itu relevan, Sanjeda berkata soalan sebegitu memang relevan sebab keadaan di mana negara diserang pengganas boleh berlaku. Maka, masyarakat perlu tahu apa peranan yang perlu dimainkan.

Secara tidak langsung melalui soalan sebegitu ia boleh membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang peranan mereka dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan negara.

Tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing disandang oleh Kristina Yohanes, Isabelle Lansing dan Shobana Raman.

Gelaran sampingan lain iaitu Miss Popular FB dimenangi oleh Rozeline John, Miss Natural Beauty Cynthia Avat dan Miss Cafe Society Ernietta Henry.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Miss Grand Malaysia Jude Benjamin Lisa, Pengarah Miss Grand Sabah Severinus A Nain dan juga Miss Grand Malaysia 2015 Santhawan Boonratana.

Advertisement