Anda di sini

Enam maut, 25 cedera ditimpa kren di limbungan

Advertisement
 Kren yang rosak menimpa kawasan rehat pekerja di limbungan Samsung Heavy Industries di Geoje, kelmarin. — Gambar Reuters
PATAH: Kren yang rosak menimpa kawasan rehat pekerja di limbungan Samsung Heavy Industries di Geoje, kelmarin. — Gambar Reuters

SEOUL: Sekurang-kurangnya enam pekerja Samsung yang membina sebuah pelantar lautan bernilai AS$500 juta (RM2.25 bilion) untuk syarikat tenaga gergasi dari Perancis, Total, maut dalam satu nahas kren limbungan kapal, kata pihak berkuasa Korea Selatan semalam.

Dua kren berlanggar di limbungan kapal di pelabuhan tenggara Geoje, menyebabkan satu bahagian kren setinggi 60 meter dan seberat 32 tan patah lalu terhempas ke atas kawasan rehat pekerja di bawah.

Enam maut dan 25 cedera dalam huru-hara yang tercetus kelmarin, kata polis.

Kesemua mereka yang terlibat bekerja untuk projek Total tersebut, yang ditempah pada Disember 2012 dan bakal ditempatkan di medannya di Martin Linge, perairan Norway.

Limbungan kapal berkenaan diusahakan oleh Samsung Heavy Industries, sebahagian daripada Samsung Group, konglomerat terbesar di Korea Selatan

Park Dae-young, presiden Samsung Heavy Industries berkata, beliau memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mereka, selain berjanji akan memberi sokongan penuh kepada mangsa yang terjejas.

“Kami akan menyiasat dengan teliti punca kemalangan ini dan bertanggungjawab ke atasnya,” kata Park dalam kenyataan yang dibacakan oleh Kim Hyo-seop, pengarah limbungan Geoje, yang tunduk lama di depan kamera televisyen.

Syarikat tersebut percaya kemalangan tersebut adalah akibat masalah komunikasi di antara pemandu kren dan pekerja isyarat, namun punca sebenar masih disiasat.

Pemandu kren di limbungan itu bergantung kepada ‘walkie-talkie’ untuk menerima arahan.

Agensi berita Yonhap memetik seorang pegawai syarikat sebagai berkata mereka tidak pernah mengalami nahas sedahsyat itu sejak beberapa tahun.

Ia merupakan tamparan terbaharu kepada empayar korporat berkenaan, di mana pewarisnya kini sedang dibicara atas tuduhan rasuah yang ada kaitan dengan skandal yang menjatuhkan presiden Park Geun-hye.

Seorang jurucakap Samsung Heavy Industries memberitahu, projek Total itu yang dijadual dihantar menjelang pertengahan Jun, mungkin tertangguh lagi.

Polis berkata, 12 pemandu kren sedang disiasat tatkala mereka meneliti potensi berlakunya kesilapan operasi atau pelanggaran peraturan keselamatan.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, China semalam menyeru penggantungan serta-merta sistem pertahanan misil yang kontroversi hanya beberapa jam selepas Washington mengesahkan perisai tersebut kini beroperasi sepenuhnya di Korea Selatan.

“Kedudukan China adalah tegas dan jelas. Kami menentang pengerahan sistem THAAD di Korea Selatan dan menggesa pihak-pihak yang relevan untuk menghentikan serta-merta pengerahannya.

“Kami dengan tegas akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menegakkan kepentingan kami,” menurut jurucakap kementerian luar Geng Shuang pada sesi taklimat harian media.

Washington dan Seoul mempersetujui pengerahan Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) pada Julai tahun lepas. — AFP

Advertisement