Anda di sini

Bekas kerani didakwa 38 pertuduhan palsu dokumen

Advertisement
 Maidzatul mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan (LO) di dua Mahkamah Majistret Seremban dekat Seremban, semalam. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Maidzatul mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan (LO) di dua Mahkamah Majistret Seremban dekat Seremban, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Seorang bekas kerani Pejabat Daerah dan Tanah Seremban mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan (LO) di dua Mahkamah Majistret Seremban, di sini, semalam.

Maidzatul Ashra Mokhtar, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Fitriza Abd Latif dan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut kesemua 38 pertuduhan yang dibacakan di hadapan kedua-dua Majistret terbabit, tertuduh didakwa memalsukan LO dengan tujuan untuk menipu pegawai atasannya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 19 Feb tahun lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 468 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu di Mahkamah Majistret 2, Nurul Fitriza membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua 20 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Di mahkamah yang berlainan, peguam bela Maizatul Ashra, Norliana Ali Othman, memohon kepada mahkamah agar mengenakan jaminan yang seminimum mungkin dengan alasan, tertuduh yang kini berniaga sendiri, perlu menanggung empat anak dan ibu bapa yang sudah tua.

Mohd Zaki bagaimanapun, menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap 18 pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Kedua-dua mahkamah menetapkan kes disebut semula 30 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad dan Sara Afiqah Zulkipli. — Bernama

Advertisement